SPRM mahu dakwa Daim

SPRM mahu dakwa Daim

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sepatutnya sudah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana suruhanjaya itu sudah mendapat kebenaran berbuat demikian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun pertuduhan belum dapat dilakukan atas alasan kesihatan apabila Daim dimasukkan ke hospital.

Katanya, Jabatan Peguam Negara sudah beri kebenaran mendakwa bekas menteri kanan terbabit sejak minggu lalu.

Jelasnya, pegawai penyiasat telah berhubung dengan peguam Daim namun dimaklumkan beliau dimasukkan hospital.

“SPRM sedang menyiapkan pertuduhan namun beliau (Daim) telah dimasukkan ke hospital malah tidak dimaklumkan secara jelas atas sebab apa.

“Oleh itu, pertuduhan tidak dapat lagi dilaksanakan. Buat masa ini, kita akan melihat keadaan namun tetap akan menuduhnya,” katanya di sini semalam.
Azam bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat pertuduhan terhadap Daim.

Media semalam melaporkan isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Na’imah, 67, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Na’imah didakwa dengan sengaja memberi satu pernya­taan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI); empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.

Pada 29 Disember lalu, SPRM sahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan maklumat Kertas Pandora yang dimulakan sejak Februari lalu.

SPRM berkata, satu notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) diserahkan kepada beliau supaya mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.

“Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.

“Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.

Sementara itu, Na’imah ber­kata, suaminya bersedia didakwa atas apa juga pertuduhan dan tidak kira di mana lokasinya.

“Beliau (Daim) telah dimasukkan ke wad dan sedang menjalani rawatan. Bergantung kepada kebenaran hospital dan pasukan perubatan, Daim bersedia untuk menghadapi pertuduhan politik ini di hospital. Beliau serahkan kepada Azam Baki dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk memutuskannya (untuk dakwa di hospital atau lokasi lain),” ujar beliau.

Na’imah berkata demikian dalam kenyataan media terbaharu bagi menjawab laporan media yang memetik kenyataan Azam bahawa agensi terbabit telah mendapat izin untuk mendakwa Daim di mahkamah namun tidak dapat berbuat demikian kerana bekas menteri itu telah dimasukkan ke hospital.

Na’imah dalam keterangannya mendakwa dirinya dan peguam mereka tidak pernah dimaklumkan bahawa Daim akan didakwa atas apa jua pertuduhan.

“Tiada kebenaran pada kenyataan yang dibuat Azam Baki. Kami hanya dimaklumkan bahawa keterangan Daim akan direkodkan. Hanya ketika membaca laporan berita hari ini, saya mendapat tahu bahawa Daim akan didakwa.

“Oleh itu, kenyataan Azam Baki yang menggambarkan bahawa Daim seolah-olah mengelak daripada didakwa dengan cara masuk wad adalah palsu dan ‘nakal’.

“Ingin saya jelaskan di sini, Daim bersedia untuk menghadapi apa juga pertuduhan, di masa sahaja dan beliau akan mempertahankan dirinya mengikut lunas undang-undang,” kata Na’imah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×