Malang apabila kumpulan pengganas dikaitkan dengan Islam

Malang apabila kumpulan pengganas dikaitkan dengan Islam

RAKYAT Malaysia, Zainuri Kamaruddin (dua dari kanan) yang menyertai kumpulan militan Daesh dipercayai terbunuh dalam pertempuran di Syria pada Januari 2017.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 8 November 2023, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kumpulan pengganas Daesh dan Al- Qaeda kekal sebagai ancaman utama Malaysia dan antarabangsa.

Kenyataan ini turut dinyatakan oleh Singapura pada 26 Julai tahun lalu bahawa Asia Tenggara masih menjadi sasaran dan terdedah kepada pengganas dan radikalisasi. Dua kenyataan dari Malaysia dan Singapura ini dilihat memiliki objektif yang sama iaitu memerangi keganasan namun kenyataan Singapura dibuat sebelum meletusnya Perang Hamas-Israel yang berlaku pada 7 Oktober 2023 manakala kenyataan Malaysia selepas meletusnya peperangan berkenaan.

Kenyataan Malaysia jelas menunjukan ia adalah respon semasa dan memiliki perkaitan dengan situasi peperangan di Gaza, Palestin sendangkan Singapura memberi amaran kepada pengganas antarabangsa dan masalah radikalisasi.

Perang Hamas-Israel memiliki potensi yang bakal membawa kesan kepada Sphere Of Influence daripada peperangan terhadap Israel yang membuka ruang kepada teori Power Vacuum untuk kumpulan pengganas antarabangsa menggunakan platform dan sentimen antiIsrael dan Amerika Syarikat (AS) serta negara penyokong Israel. Ia akan meningkatkan serangan ke atas aset atau elemen yang berkaitan dengan AS dan Israel yang tidak hanya di Timur Tengah sebaliknya mampu merebak ke seluruh dunia khususnya rantau Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika.

Pun begitu, mereka tidak melibatkan AS, Eropah, negara Oceania dan wilayah lain berbanding rantau di Asia disebabkan geopolitik dan budaya hidup masyarakat yang membawa kepada penumpuan kumpulan pengganas antarabangsa. Ini kerana AS dan Barat memiliki tahap kemajuan, peradaban, pendidikan, budaya hidup dan sosial yang berbeza dengan negara Asia.

Faktor keagamaan, nilai ketimuran serta budaya hidup di Asia adalah elemen yang dieksploitasi oleh kumpulan pengganas antarabangsa yang memudahkan mereka membuat penyerapan ideologi serta masuk ke sesebuah negara bukan hanya untuk melakukan serangan tetapi juga menetap dan membuat perebakan serta merekrut ahli kumpulan sebagai pusat kegiatan keganasan.

Ia berbeza dengan sasaran di AS dan Barat yang mana kumpulan pengganas antarabangsa cenderung hanya melakukan serangan dan bertindak meninggalkan negara berkenaan serta sukar untuk kekal dalam tempoh yang panjang. Senario ini dapat dilihat apabila Al-Qaeda membuat serangan dan bertindak keluar dari AS pada 11 September 2001, manakala kumpulan pengganas antarabangsa melakukan serangan dan kekal membuat penyebaran serta menjadikan negara di Asia Tenggara sebagai pusat penyebaran aktiviti keganasan.

Aspek yang jelas mempengaruhi senario ini adalah budaya hidup, geografi, ketamadunan, pendidikan serta faktor dalaman sesebuah negara menjadi daya penarik kepada kumpulan pengganas antarabangsa untuk mengambil kesempatan dan eksploitasikan bagi membolehkan kegiatan keganasan dilakukan.

Bagi rantau Asia secara umumnya faktor agama, kerohanian serta nilai ketimuran menjadi aspek yang digunakan oleh kumpulan pengganas antarabangsa untuk menarik minat masyarakat dengan pelbagai eksploitasi nilai-nilai agama dalam menjustifikasikan tindakan keganasan sedangkan ia jelas bertentangan dengan ajaran sebenar agama. Kumpulan pengganas antarabangsa turut mengambil kesempatan mengadakan hubungan dengan gerakan ekstremis dan kumpulan radikal dalam sesebuah negara.

Ini dapat dilihat dengan modus operandi Al-Qaeda termasuk Daesh yang mengadakan hubungan dengan Jemaah Islamiah (JI) manakala JI turut mempengaruhi kelompok kecil kumpulan ekstremis, radikal dan pengganas dari dalam negara seperti Kumpulan Abu Sayaf, Daulah Islamiyah, kumpulan Jemaah Ansharut Daulah, kumpulan Katiba Tawhid Wal Jihad (KTWJ), Kumpulan Militan Malaysia dan sebagainya.

Pada 24 Mac 2023, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD) menyatakan terdapat 600 warga Asia Tenggara yang berkait dengan kumpulan pengganas Daesh di Iraq dan Syria. Senario ini masih belum mengambil kira jumlah warga Asia Tenggara yang terlibat dalam ekstremisme dan radikal di Yaman, Pakistan, Afghanistan dan dari pusat penyebaran di rantau Asia Tenggara sendiri. Golongan ini didedahkan dengan ideologi, penerapan fahaman ektremisme, diberikan latihan keganasan dan menjadi ejen untuk merekrut ahli dari negara sendiri dan negara asing.

Golongan ini akan membentuk jambatan kepada rangkaian keganasan global dan mampu membentuk sel atau kumpulan ekstremis, radikal dan pengganas di negara masing-masing yang akan memberi ancaman keselamatan kepada rakyat, kestabilan dan keamanan negara.

Ini adalah realiti yang berlaku kepada beberapa negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia yang menjadi sasaran kumpulan pengganas antarabangsa untuk melakukan serangan, merekrut ahli, menyembunyikan diri, membina jaringan keganasan dan sebagainya.

ISLAM
Malang apabila kegiatan keganasan ini dikaitkan dengan Islam. Malah lebih malang apabila Barat melihat Islam itu sebagai simbol keganasan kesan daripada tindakan kumpulan ekstremis, radikal dan pengganas ini.

Dalam konteks Islam yang sebenar telah melarang dan menolak umat Islam melakukan perbuatan yang melampau (guluw) seperti tercatat dalam al-Quran.

“Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang – tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul” (Surah Maidah, ayat 77)

Malah Rasulullah SAW turut memberikan peringatan mengenai kemunculan golongan Khawarij.

“Yusair bin Amru mengatakan, aku bertanya kepada Sahal bin Hunaif: “Apakah engkau mendengar Nabi SAW bersabda tentang Khawarij? Dia menjawab: Aku mendengar beliau bersabda – sambil beliau arahkan tangannya menuju Iraq – Dari sanalah muncul sekelompok kaum yang membaca al-Quran tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Pada 25 September 2014, terdapat lebih kurang 126 orang ulama Muslim dari seluruh dunia menandatangani dan membuat kenyataan bersama yang dibacakan oleh Presiden Council on American Islamic Relations (CAIR), Nihad Awwad yang menolak Islamic State (IS) dan ajaran khilafah yang diumumkan oleh IS. Secara umum para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah telah bersepakat di seluruh dunia mengenai tindakan, fahaman dan ajaran Daesh, IS dan kumpulan pengganas serta merupakan penyelewengan agama dan sesat. Ia merupakan tindakan yang bukan daripada ajaran Islam yang sebenar.

Justeru, umat Islam perlu melihat bahawa tindakan keganasan dan kumpulan pengganas sama ada tempatan dan antarabangsa adalah bukan dari Islam.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×