PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengembangkan perniagaan penyelenggaraan loji janakuasa di Kuwait melalui Perjanjian Program Penyelenggaraan jangka panjang untuk Loji Janakuasa dan Penyulingan Air Shuaiba Utara di Al Ahmadi, Kuwait.
TNB dalam kenyataan berkata, perjanjian tersebut dilakukan melalui anak syarikatnya, TNB Repair and Maintenance Sdn. Bhd. (TNB REMACO).
Melalui usaha sama dengan Al Dhow Engineering, syarikat berpangkalan di Kuwait, merela menandatangani perjanjian perkhidmatan jangka panjang dengan General Electric Global Services (GE Vernova) untuk menyediakan kerja-kerja penyelenggaraan turbin gas di loji itu.
Loji tersebut dimiliki Kementerian Elektrik, Air dan Tenaga Boleh Baharu (MEWRE) Kuwait.
TNB berkata, perjanjian itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas MEWRE untuk memodenkan infrastruktur penjanaan tenaga di Kuwait, menyumbang kepada usaha global bagi peralihan tenaga mampan.
Di bawah kontrak lima tahun itu, rakan usaha sama itu menyediakan penyelenggaraan menyeluruh terancang dan tidak terancang untuk turbin gas dan alat bantunya di loji berkapasiti 876 megawatt (MW) tersebut.
Pengerusi TNB REMACO, Ir. Muhammad Nazri Pazil berkata, kerjasama strategik ini sejajar dengan komitmen TNB untuk menjadi peneraju dalam kemajuan landskap tenaga global.
“Kedua-dua rakan kongsi ini mempunyai kekuatan dan kepakaran masing-masing yang akan memastikan kebolehpercayaan infrastruktur tenaga Kuwait dan menyumbang kepada matlamat lebih luas dalam peralihan tenaga dan kelestarian.
“Usaha sama TNB REMACO – Al Dhow dan GE dengan keupayaan digital mereka akan membantu menyokong penyelenggaraan dan prestasi jangka panjang untuk loji itu,” katanya.-UTUSAN










