PETALING JAYA: Petronas semalam menganugerahkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) untuk enam blok penerokaan dan satu kluster peluang sumber ditemui (DRO) yang dijangka memperoleh pelaburan modal bernilai lebih RM1.3 bilion kepada negara dalam bentuk aktiviti kerja penerokaan.
Menurut kenyataannya, kontrak adalah di bawah Pusingan Bidaan Malaysia 2023 (MBR 2023).
PSC terbaharu itu diberikan kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd. (Petronas Carigali), E&P Malaysia Venture Sdn. Bhd. (EPMV), Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn. Bhd. (PSEP), SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJ Energy) dan INPEX Malaysia E&P (INPEX).
Turut menerima kontrak tersebut adalah PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi (Pertamina), Jadestone Energy (PM) Inc., Sarawak Shell Bhd. (Shell), dan E&P O&M Services Sdn. Bhd. (EPOMS).
Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Ir . Bacho Pilong berkata, ini adalah permulaan yang baik untuk 2024.
“Penganugerahan tujuh PSC daripada MBR 2023 adalah bukti keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan penerokaan dan pengeluaran (E&P) yang berpotensi.
“Dengan pengangerahan kontrak ini, semua blok penerokaan di luar pesisir Lembangan Sarawak dan Lembangan Barat Laut Sabah telah dilesenkan sepenuhnya,” katanya.
Begitu juga di Semenanjung Malaysia, beliau berkata, pihaknya gembira melihat permintaan yang semakin meningkat dalam lembangan, disokong oleh infrastruktur yang mantap dan mudah diakses.
“Usaha kerjasama antara Petronas dan pemain industri telah memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan dan memupuk pertumbuhan ekonomi di negara ini,” tambahnya.
Blok di bawah PSC merentasi tiga wilayah di luar pesisir Malaysia yang terdiri daripada dua blok di luar pesisir Semenanjung Malaysia, tiga blok di luar pantai Sarawak serta satu blok penerokaan dan satu kelompok DRO yang terletak di luar pantai Sabah.-UTUSAN










