PETALING JAYA: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk murid darjah satu bagi kemasukan sesi 2024 akan mula diagih setelah mereka memasuki persekolahan pertengahan Mac ini.
Presiden Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Juhari Md. Noor berkata, inisiatif tersebut tidak akan diberikan awal kepada murid yang akan memasuki darjah satu.
Katanya, ini kerana jumlah kemasukan murid ke tahun satu untuk sesi baharu yang akan bermula pada 10 dan 11 Mac ini masih belum dikenal pasti.
“Justeru itu, ibu bapa perlu mendaftarkan anak mereka yang akan memasuki darjah satu terlebih dahulu.
“Dengan ini, pihak terbabit dapat mengenalpasti sama ada murid tersebut layak atau tidak menerima inisiatif ini berdasarkan pendapatan ibu bapa mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas reaksi ramai ibu bapa mempersoalkan anak mereka yang bakal masuk ke darjah satu sesi Mac 2024 masih belum menerima bantuan itu.
Dalam pada itu, kata Juhari, pada masa kini agihan BAP kepada murid-murid mula diagihkan secara berperingkat bagi mereka yang memasuki darjah dua sehingga darjah lima pada sesi sekolah akan datang.
Sehubungan itu, beliau meminta para ibu bapa agar tidak terburu-buru membuat andaian bahawa anak mereka yang sepatutnya layak menerima BAP namun dikata tidak dapat bantuan.
Sebelum ini, dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM788.13 juta kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tujuan inisiatif BAP. – UTUSAN











