Bahaya diayah Barat konon Islam ditindas di China

Bahaya diayah Barat konon Islam ditindas di China

KHAIRUL Firdaus Akbar Khan (depan berbaju batik) bergambar dengan sekumpulan imam dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini. – UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA saya membuat liputan ketibaan sekumpulan 36 imam dari 14 wilayah China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang baru-baru ini, saya teringat kembali pengalaman berada di negara tersebut.

Uniknya kerana di sana pelancong Malaysia beragama Islam tidak perlu risau mengenai isu lokasi masjid atau restoran tempatan yang menyediakan menu halal kerana ia bukan nadir.

Dianggarkan ada lebih 30 juta umat Islam di China yang meliputi 55 suku kaum dengan etnik Hui paling besar bahkan dianggap sebagai bumiputera Muslim di negara berkenaan.

Berbalik kisah imam tersebut, ini acara julung kali dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah skim khas dikenali Discover Muslim Friendly Malaysia.

Daripada raut wajah mereka, saya tertarik dengan semangat kumpulan itu yang meskipun jadual lawatan padat selama seminggu tetapi gembira bertemu saudara seagama di sini.

Ironinya, tiada media berbahasa Cina muncul membuat liputan kecuali seorang wartawan wanita Tionghua daripada RTM yang bertindak menjadi bidan terjun sebagai jurubahasa.

Situasi janggal ini juga mencetuskan tanda tanya kepada kami, apakah program unik kali pertama dilancarkan itu tiada langsung nilai berita hanya kerana pelawat tersebut Muslim?

Walhal, ia signifikan menjelang ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31 Mei kelak, waima dihadiri Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Bayangkanlah, ‘besarnya’ taraf program itu apabila Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abdul Ghapar sendiri sanggup datang selain wakil dari pelbagai agensi.

Ketiadaan liputan akhbar tempatan berbahasa Cina mungkin juga disebabkan ada yang terpengaruh propaganda media asing memomokkan isu ekstremisme Uighur di Xinjiang.

Begitulah hebatnya diayah jahat Barat memainkan naratif negatif itu dibandingkan fakta ada lebih 40,000 buah masjid di China dibina selepas tamat Revolusi Budaya pada 1971.

Umat Islam di sana juga menerima banyak kelebihan termasuk boleh memiliki tiga anak berbanding bukan Muslim hanya seorang sebelum dinaikkan kepada dua pada 2016 lalu.

Malah mereka dibenar bebas bercuti bagi menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha selain diwartakan sebagai cuti umum untuk lebih sedozen wilayah ramai komuniti Muslim.

Usaha ini bermula apabila pemerintahnya menubuhkan Islamic Association of China sejak 1953, semacam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dalam kawal selia aktiviti agama di seluruh republik berkenaan.

Ini termasuk juga aspek pendidikan Islam untuk murid Muslim, pendaftaran perkahwinan, isu pensijilan halal, penghantaran jemaah haji ke Tanah Suci selain pentauliahan imam.

Organisasi beribu pejabat di ibu kota Beijing itu bahkan mewakili China dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) selaras dengan dasar luar kerajaannya cenderung proPalestin.

 

BARAT memainkan naratif jahat sedangkan fakta sebenarnya China melayan baik umat Islam di negara itu dengan menyediakan pelbagai fasiliti dan kelebihan.

DIPLOMATIK
Terima kasih Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang menjalinkan diplomatik pada 1974 apabila berjaya ‘melembutkan hati’ kerajaan China ke atas umat Islam di sana.

Atas jasa besar Allahyarham itu, ribuan pelajar Muslim dari China dihantar menuntut ke Malaysia untuk balik berbakti menjadi pendakwah selain guru agama dan bahasa Arab.

Justeru saya teringat ketika melawat beberapa kota besar di sana sedekad lalu, setiap kali solat Jumaat, semua masjid penuh jemaah melimpah ruah ke jalan raya berhampiran.

Kata orang, petua jika hendak membeli makanan halal di negara bukan Muslim amat mudah, hanya kena rajin cari sekitar masjid dan terbukti di China, pelawat Islam tiada masalah.

Secara logik, untuk kenal orang Muslim, kita boleh lihat penampilan mereka yang kemas bersih dengan imej ceria suka senyum manakala lelaki pula ada berkumis dan berkopiah.

Selain sebutan lazim seperti alhamdulillah dan insya-Allah, mereka bukannya seperti cerita-cerita tular yang kononnya ada kes pelancong China bukan Muslim yang suka membuang air besar atau kencing merata-rata.

Bagi yang tidak pernah melawat China, cuba tonton balik siri dokumentari Tetamu Masjid yang pernah disiarkan di sebuah stesen televisyen tempatan suatu ketika dahulu untuk mengetahui kisah Islam di sana.

Rancangan ini juga boleh ditonton menerusi laman video YouTube yang memaparkan travelog pendakwah mualaf terkenal, Firdaus Wong meninjau kehidupan sebenar Muslim di China.

Gambarannya cukup positif tetapi ramai kalangan rakyat kita salah faham dek hasutan berita palsu media Barat yang memperbesarkan cerita Xinjiang kononnya ditindas komunis Beijing.

Akhirnya kita leka dan terlupa tentang agenda tersirat mereka yang cuba berlagak hero tetapi berdiam diri dalam isu Palestin yang diperlakukan dengan kejam dan dihancur tanpa ihsan oleh rejim Zionis Israel selama lebih 75 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×