‘Kami harap terpilih tunai haji tahun ini’

‘Kami harap terpilih tunai haji tahun ini’

PESERTA yang menyertai Kursus Asas Haji Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di Bagan Serai semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seramai 400 peserta Kursus Asas Haji anjuran Masjid Daerah Bagan Serai di sini berharap terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Sulaiman@Jaafar Abas, 85, berkata, dia bersama isterinya, Salasiah Ismail, 80, sudah lama bercita-cita untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, iaitu lebih 24 tahun lalu.

Katanya, untuk itu dia mula membuat simpanan wang dalam Tabung Haji pada 2009.

“Setiap kali menjual dan memperoleh hasil tuaian padi di setiap musim, saya akan memasukkan duit supaya segera dapat ke sana,” katanya.

Dia ditemui dalam Kursus Asas Haji Siri Akhir Tahun 2024 di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini.

Menurutnya, duit yang disimpan sudah mencukupi untuk dia dan isterinya ke Mekah.

“Saya amat berharap agar nama saya serta isteri dipilih untuk mengerjakan haji tahun ini.

“Maklumlah umur kami berdua sudah agak lanjut dan jika dipilih, anak saya, Parazi Sulaiman, 62, serta isterinya, Nooraliza Ahmaf,61, akan jadi pengiring kami untuk sana,” katanya.

Seorang lagi peserta kursus, Ahmad Sayuthi Suhaimi,13, berkata, dia mengikuti kursus asas haji bersama ahli keluarganya.

Menurutnya, ibu bapanya berhasrat untuk membawa mereka sekeluarga menunaikan haji tahun ini.

“Bagaimanapun semuanya bergantung sekiranya dipilih dan kami sekeluarga sentiasa berdoa siang dan malam agar apa yang kami impikan ini tertunai tahun ini,” katanya.

Seorang lagi peserta, Normah Nordin, 45, berkata, namanya sudah terpilih sejak empat tahun yang lalu, namun disebabkan kekangan keadaan, dia tidak dapat menunaikan hasratnya itu.

“Nama saya dipilih sejak empat tahun lalu tetapi keadaan semasa tidak mengizinkan disebabkan berlakunya Covid-19 dan kemudian ada masalah kesihatan pada suami.

“Nama kami berdua memang sudah ada dan berharap agar tahun ini urusan kami berdua untuk menunaikan haji terlaksana tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Daerah Bagan Serai, Mohd Saad. Hashim, 63, berkata, seramai 400 peserta dari pelbagai peringkat usia dan daerah berdekatan sudah mengikuti kursus asas haji sebanyak 13 siri yang diadakan pada setiap Ahad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×