Tidak dengar hakim paling senior campur tangan keputusan mahkmah

Tidak dengar hakim paling senior campur tangan keputusan mahkamah

KEBEBASAN kehakiman telah wujud kembali di bawah Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA dua hari berturut-turut Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Zulkifli Jalil melalui tulisan bertajuk Tabik Tun wanita besi! dan Bersih hakim, bersihlah sistem kehakiman yang mengalu-alukan ketegasan dan pendirian Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk berterus-terang serta berani mempertahankan kewibawaan badan kehakiman.

Satu aspek yang diperkatakan oleh Tengku Maimun dalam ucapan beliau semasa Pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 (OLY 2024) pada 15 Januari lalu telah mendapat liputan meluas media massa, iaitu tindakan segolongan pihak yang menyalahkan badan kehakiman kerana membuat perintah pelepasan terhadap beberapa individu tertentu.

Faktanya ialah keputusan menghentikan sebarang prosiding bagi suatu kesalahan selain di hadapan mahkamah syariah adalah budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, dan bila beliau selaku Pendakwa Raya memutuskan untuk menarik balik tuduhan, mahkamah mempunyai pilihan yang sangat terhad.

Pilihan ini ialah untuk sama ada membuat perintah lepas tanpa bebas atau discharge not amounting to acquittal (DNAA) serta perintah lepas dan bebas atau discharge and acquittal (DAA) dan mahkamah tidak boleh memaksa Pendakwa Raya untuk mengekalkan tuduhan. Oleh itu, mahkamah tidak boleh disalahkan atas keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya.

Justeru, tidak benar sama sekali jika dikatakan bahawa mahkamah tidak lagi bebas dan mengikut telunjuk badan Eksekutif semata-mata kerana mahkamah membuat perintah DNAA atau perintah DAA kerana itu sahaja pilihan yang ada pada mahkamah apabila Pendakwa Raya memutuskan untuk menarik balik tuduhan kepada individu tertentu.

Satu lagi aspek lain yang dilihat cuba dipalitkan untuk menjejaskan keyakinan awam terhadap kebebasan kehakiman ialah dakwaan kononnya kehakiman dipengaruhi oleh elemen-elemen liberalisme dengan agenda untuk menghapuskan Islam di negara ini atau agenda untuk menghapuskan sistem undang-undang Islam di Malaysia.

Dua kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, iaitu Iki Putra Mubarrak lwn Kerajaan Negeri Selangor & Lain-lain (2021) dan SIS Forum (M) lwn Kerajaan Negeri Selangor (2022) telah sering digunakan bagi membawa naratif ini.

Tidak sewajarnya hakim-hakim Mahkamah Persekutuan diserang secara peribadi atas keputusan dalam kedua-dua kes ini kerana hakikatnya persoalan utama yang ditimbulkan hanyalah berkaitan dengan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkuasa untuk meluluskan sesuatu undang-undang ataupun tidak sahaja.

Seperti dinyatakan oleh Tengku Maimun, dengan menginterpretasikan Perlembagaan Persekutuan secara jelas dan menentukan kuasa Parlimen dan DUN sementara Mahkamah Persekutuan memastikan pelaksanaan yang berterusan dan stabil undang-undang Islam di negeri-negeri kerana ia menjamin bahawa Parlimen sekalipun tidak akan dapat mengikisnya.

Sehubungan ini, ramai yang bersetuju bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) berkewajipan untuk memastikan integriti kehakiman tidak terjejas dengan memulakan prosiding hasutan terhadap pihak yang membuat komen menghina kehakiman sehingga menimbulkan kebencian berkenaan kes-kes yang telah diputuskan atau sedang dipertikaikan.

BERANI
Hakim-hakim tidak terikat kepada pendapat, populariti atau sentimen orang ramai kerana mereka dilantik. Oleh itu, hakim bebas untuk membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang tanpa takut terhadap hasil politik atau sosial terhadap keputusan mereka. Apa yang penting ialah pematuhan kepada stare decisis atau doktrin preseden kehakiman.

Salah satu preseden penting sekarang adalah doktrin supremasi Perlembagaan yang menetapkan bahawa beberapa ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan tidak dapat dimusnahkan walaupun oleh pindaan Perlembagaan. Hakim-hakim bebas untuk menyatakan pandangan mereka tentang ciri-ciri asas tersebut tanpa menidakkan kewujudan konsep itu sendiri.

Seperti yang telah dinyatakan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya (1988), perasaan peribadi hakim-hakim tiada tempat di mahkamah,“We have to set aside our personal feelings because the law in this country is what it is today, secular law, where morality not accepted by the law is not enjoying the status of the law”.

WANITA BESI
Secara ringkasnya, di bawah kendalian Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara dari golongan wanita yang pertama, kebebasan kehakiman telah kembali diakui wujud, sekali gus melayakkan beliau untuk dinobatkan sebagai seorang wanita besi. Beliau bukan sekadar berani bersuara mempertahankan kebebasan kehakiman tetapi berani mengotakan apa yang disuarakan.

Amatilah sahaja penegasan beliau dalam ucapan semasa OLY 2024 baru-baru ini yang menyatakan setiap masa, semua hakim termasuk hakim yang sudah bersara terikat dengan tugas untuk mengekalkan integriti dan imej kehakiman dan mereka yang masih berkhidmat harus terus mendengar kes-kes secara tidak berat sebelah, bebas dan tanpa seinci ketakutan atau kecenderungan.

Di bawah kendalian beliau, tidak pernah didengari ada mana-mana satu daripada empat hakim paling senior yang campur tangan dalam proses pembuatan keputusan hakim lain. Tidak seperti mana yang pernah kedengaran berlaku satu waktu dahulu yang mana ada keputusan hakim bawahan yang cuba ditentukan oleh mana-mana satu daripada empat hakim paling senior.

Dari sudut ancaman luaran ke atas kebebasan kehakiman, walaupun sekali-sekala ada laporan media yang manipulatif atau serangan ke atas reputasi peribadi sesetengah hakim atau ahli keluarga mereka, umumnya tidak kedengaran ada ugutan atau arahan dikeluarkan kepada hakim-hakim sehingga boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk membuat keputusan secara bebas.

Kita percaya, dengan keperibadian Tengku Maimun dan hakim-hakim senior lain, tidak akan ada pihak yang berani mengeluarkan ugutan atau arahan sebegitu dan jika pun ada, sudah pasti ia tetap tidak akan mampu untuk mempengaruhi mereka. Dengan doa dan kerjasama semua, semoga kebebasan kehakiman di negara kita akan kekal terpelihara.-UTUSAN

PENULIS ialah lulusan undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×