KOTA BHARU: Rakyat negeri ini kurang senang dengan keputusan Kerajaan Negeri Kelantan menaikan tarif bekalan air sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu yang dianggap tidak setimpal dengan kualiti perkhidmatan diterima mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata rakyat menyifatkan keputusan itu tidak wajar berpandukan kepada kualiti air yang keruh diterima oleh mereka.
Menurut mereka, walaupun kenaikan itu dilihat rendah, ia tidak setimpal dengan perkhidmatan yang ditawarkan sehingga ada dalam kalangan penduduk terpaksa membayar bil ‘angin’ setiap bulan ekoran ketidaan bekalan air.
Seorang pengguna, Ani Amin, 55, berkata, kerajaan sepatutnya menangguhkan dahulu kenaikan tarif itu dengan mengambil kira kualiti perkhidmatan.
“Tindakan ini tidak wajar kerana majoriti rakyat terpaksa menggali telaga atau telaga tiub untuk mendapatkan sumber air.
“Sepatutnya, tingkatkan dahulu kualiti baru bercakap soal tarif baharu. Saya tidak mahu cakap banyak, sebab semua orang tahu macam mana air di Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Saifulnizam Mohd. Mokhtar, 46, berkata, keputusan menaikkan tarif air tidak tepat pada masanya memandangkan rakyat sedang berdepan pelbagai kenaikan harga barangan.
“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk kerajaan menaikkan tarif air, tambahan pula dengan mutu perkhidmatan kurang memuaskan. Namun sebagai rakyat kita terpaksa akur,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan optimis pelarasan tarif baharu mampu meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bersih di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu itu juga dapat memberi keselesaan kepada pengguna selepas ini.
Berkuat kuasa 1 Februari ini, tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu iaitu purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan.
Pelarasan itu dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun. – UTUSAN










