Lorong Haji Taib perlu pembangunan, imej baharu

Lorong Haji Taib perlu pembangunan, imej baharu

KAWASAN Lorong Haji Taib berpontensi dibangunkan sebagai lokasi tumpuan dan perniagaan jika pembangunan secara terancang dan tersusun dilakukan di situ.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Status dan keadaan Lorong Haji Taib yang bertambah baik berban­ding 20 tahun lalu secara tidak langsung mampu memberi kesan positif terhadap perkembangan ekonomi di kawasan berkenaan.

Justeru, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah berharap, pihak berkuasa dapat melaksa­nakan kerja-kerja pembersihan selain membuka lebih banyak peluang perniagaan di kawasan berkenaan.

“Sejak dulu, kita berharap Lorong Haji Taib dapat diba­ngunkan selain perlu ada pertambahan tapak meniaga di situ.

“Namun janganlah sampai ia sesak dan perlu ada kawalan. Tambahan kita memang tahu sejarah kawasan terbabit sebelum ini tidak berapa cantik. Justeru apabila jadi kawasan tumpuan, maka sudah pasti tidak timbul lagi cerita berkaitan maksiat atau kawasan penagih dadah di kawasan berkenaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Bagaimanapun katanya, pemantauan dan kawalan terhadap peniaga perlu dilaksanakan di Lorong Haji Taib bagi mengelakkan lambakan penjaja warga asing.

“Selain itu kita mahu pastikan tiada lesen alibaba seandainya ia dibuka untuk peniaga lain berniaga nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad berharap Lorong Haji Taib diberi imej baharu dengan beberapa langkah penambahbaikan.

“Antaranya menambah lu­kisan mural di dinding ba­ngunan lama atau membina pintu gerbang yang lebih cantik. Ia sekali gus memberi petunjuk bahawa kawasan tersebut bersedia menerima kehadiran pengunjung yang bukannya datang mencari ‘kupu-kupu’ malam.

“Seingat saya, sewaktu Datuk Bandar Kuala Lumpur sebelum ini iaitu Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, beliau memang berhasrat membangunkan kawasan terbabit. Tapi sekarang saya tidak pasti apakah perancangan DBKL di bawah pentadbiran Datuk Bandar yang baharu,” katanya.

PENIAGA ASING ‘HIDU’ POTENSI

Potensi perniagaan dan pembangunan yang ada pada Lorong Haji Taib sejak kebelakangan ini hakikatnya banyak ‘dihidu’ warga asing yang mendorong kepada cubaan memonopoli kawasan terbabit.

AKTIVITI perniagaan rancak dijalankan di Lorong Haji Taib.

Buktinya menerusi tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, beberapa kedai berhampiran kawasan berkenaan dipercayai disewakan kepada warga asing.

Malah, mereka cuba berselindung dan mendakwa sebagai pekerja semata-mata ketika ditemui baru-baru ini.

“Saya sudah setahun menjadi pekerja di kedai kasut ini. Tauke memang orang tempatan. Hanya sesekali datang dan pantau kami,” dakwa Kader, warga Bangladesh secara ringkas.

Dalam pada itu, pihak DBKL telah melaksanakan operasi menggempur peniaga warga ­asing di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Operasi berkenaan yang membabitkan 131 anggota DBKL itu telah memeriksa lebih 200 aktiviti perniagaan bazar pa­kaian terpakai dan lain-lain penjualan barangan am serta aksesori yang beroperasi sepanjang Lorong Haji Taib.

DBKL turut mengambil tindakan ke atas 12 pemilik aktiviti atau tapak lot perniagaan yang gagal mempamerkan lesen dan dikendalikan warga asing tanpa kebenaran melibatkan sembilan peniaga barangan terpakai, dua peniaga makanan dan minuman serta seorang penjaja ubat-ubatan seks.

ALLAUDEEN Abdul Majid (tengah) bersama anggota polis mengadakan program Walkabout meninjau peniaga, melawat Lorong Haji Taib dan Balai Polis Chowkit, baru-baru ini. – MINGGUAN/AMIR KHALID

SUDAH 100 PERATUS ‘BERSIH’

Sementara itu, jaminan turut diberikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid terhadap situasi di Lorong Haji Taib.

“Sekarang sudah ada balai polis di sana iaitu Balai Polis Chow Kit. Jadi kawasan lorong tersebut bukan lagi seperti 20 tahun lalu.

“Saya boleh katakan sudah bersih daripada kawasan pelacuran 100 peratus. Tiada lagi yang bersidai.

“Kalau awak lihat seorang dua pun, itu mungkin pondan tua yang sudah tidak laku. Lagipun di kawasan terbabit sudah ada sekolah yang diwujudkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis sosial untuk kanak-kanak di situ,” katanya.

Beliau yang juga anak jati Kuala Lumpur turut merasai perubahan antara situasi masa lalu dan pada masa sekarang sambil menyifatkan ia lebih selamat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×