SUNGAI PETANI: Sebuah kedai jualan hasil laut di pasar pagi, Tikam Batu di sini menjadi tumpuan ramai apabila menjual sotong pada harga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.
Sotong pelbagai gred itu hanya dijual pada harga antara RM18 hingga RM38 sekilogram berbanding harga pasaran antara RM28 hingga RM48 sekilogram.
Peniaga, Roslan Abd. Razak, 54, berkata dia boleh menjual pada harga yang lebih murah berikutan bekalan hasil laut tersebut diperolehi dari negara jiran dengan harga borong yang lebih murah.
Dakwanya, krisis politik yang berlaku di negara jiran pada ketika ini menyebabkan perniagaan hasil laut di sana tidak dapat beroperasi seperti biasa sehingga menyebabkan lambakan dan kejatuhan harga.
Katanya, justeru itu, dia mengambil peluang mengimport sotong segar dari negara jiran untuk dijual kepada penduduk di sini dengan harga yang lebih murah dari pasaran.
“Alhamdulillah, hari ini sudah masuk minggu kedua saya buat jualan sotong murah ini dan sambutan daripada orang ramai sangat luar biasa.
“Kebanyakan pelanggan terutamanya yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai rasa gembira kerana dapat membeli sotong bersaiz besar dengan kuantiti yang banyak dan murah,” katanya ketika ditemui di pasar pagi Tikam Batu, semalam.
Menurut Roslan dia akan membawa masuk kira-kira 13 hingga 14 tan metrik sotong segar dari negara jiran setiap hari untuk dijual.
“Setakat ini kami berniaga secara tetap setiap hari di pasar pagi Tikam Batu dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga bercadang untuk membuat jualan jelajah di lokasi-lokasi lain di seluruh negara bagi memberi peluang kepada orang ramai membeli sotong dengan harga murah.
“Kami juga telah mula buat beberapa siri jualan jelajah di beberapa lokasi di Kulim, Pendang dan Kepala Batas,” katanya. – UTUSAN










