PETALING JAYA: Kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah dapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 billion.
Kehadiran pegawai SPRM di kediaman ahli perniagaan yang terletak di ibu negara itu dipercayai dilakukan pada pukul 10 pagi semalam.
Turut diserbu iaitu empat syarikat termasuk salah satu daripadanya merupakan syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dihadiri pegawai SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.
Tiga lagi syarikat yang diserbu merupakan entiti yang melaksanakan pelaburan membabitkan kewangan milik Tan Sri itu.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kehadiran pegawai SPRM di semua lokasi termasuk kediaman milik lelaki berkenaan adalah bagi memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.
Kata sumber itu, dokumen itu diambil SPRM bagi penelitian lanjut bagi melihat sama ada terdapat perlakukan rasuah dalam perolehan kontrak kerajaan.
“Tan Sri berkenaan adalah pemegang saham individu tertinggi di dalam syarikat pembekal kenderaan kerajaan itu.
“Susulan siasatan dilakukan SPRM, lebih 100 akaun persendirian dan syarikat yang di bawah kawalannya diperolehi SPRM bagi semakan lanjut namun tiada pembekuan akaun dibuat,” katanya semalam.
Utusan Malaysia difahamkan, tindakan yang diambil SPRM ini adalah kesinambungan kepada siasatan yang dilakukan suruhanjaya ini sejak Julai tahun lalu lagi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan serbuan namun enggan mengulas lanjut.
Kata beliau, siasatan dilakukan bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Pada Julai tahun lalu, seorang taikun perniagaan mendedahkan dirinya telah menyaman kerajaan Malaysia atas isu penamatan LOI yang ditawarkan kepada dua syarikat selepas seorang pemimpin mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.
Beliau turut mendedahkan bahawa kontrak yang diberikan kepada syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dilantik adalah RM700 juta lebih tinggi.
Rentetan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan menggesa SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan dan pendedahan ahli perniagaan itu. – UTUSAN










