PARIT BUNTAR: Lebih 1,000 penduduk di lima kampung di Kuala Kurau di sini terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh untuk urusan seharian disebabkan laluan utama di Parit 30 di sini ditutup kerana berlaku mendapan jalan.
Ia melibatkan penduduk di Kampung Parit 30, Kampung Tok Ngah, Parit Abas, Parit Mat Ali dan Parit Tok Hin.
Seorang penduduk, Mohd. Naim Firdaus Othman, 31, berkata, mendapan dikesan berlaku hampir sejak sebulan lalu.
“Pada peringkat awal, mendapan hanya berlaku beberapa sentimeter sahaja. Namun dua minggu lalu, saya lihat mendapan sudah pun sedalam hampir dua kaki serta tidak selamat untuk digunakan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Nazri Ismail, 34, berkata, laluan utama itu perlu dibaiki segera kerana ia merupakan laluan utama untuk penduduk di kawasan itu.
Menurutnya, laluan itu bukan sahaja digunakan sebagai laluan untuk rutin harian penduduk tetapi digunakan pelajar untuk ke sekolah.
“Disebabkan laluan ini mendap, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kurau dan Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau Baharu terpaksa menggunakan laluan jauh untuk ke sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, laluan yang mendap sepanjang 200 meter itu melibatkan kedua-dua bahagian laluan.
“Bagi kerja-kerja pembaikan, laluan ini perlu ditanam dengan cerucuk konkrit terlebih dahulu sebelum melakukan penurapan semula. Permukaan jalan ini sebenarnya telah diturap tidak sampai setahun sebelum berlaku mendapan.
“Saya dimaklumkan kos anggaran secara kasar untuk melakukan kerja-kerja pembaikan memerlukan RM300,000,” katanya. – UTUSAN










