Harga makanan di Gaza naik 10 kali ganda

Harga makanan di Gaza naik 10 kali ganda

SERANGAN berterusan rejim Zionis ke atas Gaza membawa kepada kemusnahan teruk bandar itu dan turut membawa kepada krisis bekalan makanan yang serius.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga bekalan makanan dan air bersih di Gaza melonjak sehingga 10 kali ganda dengan kuantiti amat terhad selain sangat sukar untuk diperoleh.

Situasi tersebut terpaksa dihadapi rakyat Palestin khususnya di selatan Gaza yang tidak mendapat tempat di mana-mana kem pela­rian di wilayah tersebut kerana sudah terlalu sesak.

Mana tidaknya, kawasan di selatan Gaza iaitu Khan Younis dan Rafah sebelum ini hanya didiami oleh sekitar 300,000 penduduk namun jumlahnya meningkat sehingga 1.8 juta orang akibat operasi ketenteraan yang dilancarkan Israel sejak 7 Ok­tober lalu.

PELARIAN

Berkongsi keadaan di kawasan selatan Gaza, rakyat Palestin yang juga graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asmaa Hussein Eslayeh, 31, berkata, dia dan ahli keluarganya yang lain kini turut berstatus pelarian kerana terpaksa berpindah randah selepas rejim Zionis memusnahkan dua buah rumah milik mereka di Khan Younis.

Menurutnya, mereka kini terpaksa hidup seperti pelarian lain dengan menghuni bangunan kosong yang masih terselamat daripada serangan tentera Israel di­sebabkan kem pelarian di kawasan selatan Gaza sudah terlalu sesak.

“Disebabkan kami tidak mene­tap di kem pelarian, jadi bekalan makanan terpaksa dibeli sendiri dengan harganya 10 kali ganda berbanding sebelum perang. Pada masa sama, untuk mendapatkannya kami harus berjalan jauh mencari kedai-kedai yang masih berbaki.

“Kami pernah cuba meminta bantuan daripada kem pelarian berhampiran untuk mendapatkan bekalan namun prosesnya sangat susah dan terpaksa beratur panjang, berebut dengan orang lain kerana bekalannya amat terhad,” katanya kepada Utusan Malaysia.

GANDUM

Berdasarkan laporan badan pemerhati hak asasi kemanusiaan antarabangsa, satu beg tepung gandum yang sebelum ini hanya sekitar 40 shekel (RM50) sebelum perang meletus namun kini ia dijual pada harga mencecah 600 shekel (RM750) jika bekalannya masih ada.

Harga tersebut adalah berdasarkan pemerhatian badan tersebut di kawasan sebelah utara Gaza yang kini terkepung oleh tentera rejim Zionis.

Bercerita lanjut, Asmaa yang juga graduan ijazah sarjana jurusan optometri berkata, walaupun ada trak bantuan kemanusiaan yang masuk ke kawasan selatan Gaza, mereka yang tinggal di luar kawasan kem pelarian amat susah mendapatkannya.

Justeru, menurutnya, buat masa ini, keluarganya memilih untuk membeli makanan sendiri walaupun terpaksa membayarnya dengan harga sangat mahal.

“Kami berada di tengah-tengah peperangan, jadi apa saja yang boleh didapati kami akan makan saja, tak boleh memilih.

“Harapnya situasi ini akan segera tamat, namun sekali pun perang berakhir tetapi kesengsaraan ini akan berterusan dan meninggalkan kesan untuk jangka masa sangat lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×