PETALING JAYA: Bekalan makanan di Gaza yang semakin kritikal menyebabkan rakyat Palestin terpaksa menahan kelaparan serta mencatu makanan sedia ada untuk terus hidup.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Strategik Perhubungan Awam Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, situasi tersebut dihadapi oleh rakyat Palestin yang berada di kawasan-kawasan terpencil.
Menurutnya, mereka yang berada di kawasan tersebut kurang mendapat akses terhadap bekalan makanan berbanding penduduk-penduduk yang berada berdekatan dengan pusat pengagihan bantuan.
“Kebanyakan bantuan sekarang ini diagihkan di kawasan Selatan Gaza iaitu di Rafah Palestin, Khan Younis dan Bir Arbala iaitu antara kawasan-kawasan yang berada di tengah Gaza tetapi bagi mereka yang berada di Beit Hanun, Jabalia ataupun Bandar Gaza sendiri mereka sukar mendapatkan akses kepada bekalan tersebut.
“Ini menyebabkan mereka terpaksa mencatu makanan sehinggakan ada sesetengah kes menyaksikan satu keping roti dikongsi oleh satu keluarga,” katanya ketika dihubungi.
Kekejaman yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza sudah berlangsung selama lebih 100 hari dan memasuki fasa ketiga yang membunuh sekurang-kurangnya 24,285 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 61,154 orang.
Mengulas lanjut, Muhd. Haikal berkata, masalah kebuluran merupakan antara punca utama kematian rakyat Palestin berbanding tewas terkena bedilan tentera Israel.
“Sebahagian besar kanak-kanak, wanita dan warga emas di Palestin, mereka bukan mati disebabkan terkena roket Israel tetapi syahid disebabkan kurangnya akses terhadap bekalan makanan serta air bersih.
“Kebiasaannya mereka makan tiga kali sehari kini sekali sehari. Di mana sebelum ini dapat makan nasi, tetapi sekarang tidak dan hanya makan roti serta biskut yang diperoleh, ada juga yang tidak makan langsung.
“Malah, penyakit-penyakit yang menular di sana juga antara punca semakin ramai rakyat Palestin maut,” katanya. – UTUSAN










