‘Adik tidur lena, bantal peluk ibu sebagai peneman’

‘Adik tidur lena, bantal peluk ibu sebagai peneman’

ADIB Iman memeluk bantal peninggalan arwah ibu dan bapa mereka yang maut dalam kemalangan motosikal minggu lalu di Taman Pahlawan, Sungai Petani, Kedah. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang kakak bersyukur apabila adik bongsunya yang baru berumur tujuh tahun semakin dapat menerima hakikat bahawa dia perlu menjadi anak yatim piatu akibat kehilangan ibu bapa pada usia masih muda.

Menurut Fatin Hanani Mohd. Norzianal, 23, adik lelakinya, Adib Iman juga menunjukkan tanda-tanda positif berbanding ketika awal dimaklumkan kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua ibu bapa mereka.

“Semalam baru Adib Iman dapat tidur lena dan tidak lagi tercari-cari ibu dan ayah untuk dipeluk semasa tidur seperti sebelum ini. Saya harap keadaan ini berterusan yang secara langsung akan memberikan sinar baharu buat kami meneruskan hidup tanpa ibu dan ayah di sisi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pada Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan lima beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut setelah motosikal dinaiki merempuh tiang elektrik berdekatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu dipercayai berlaku apabila Mohd. Norzianal Mohd. Ainol, 46, yang menunggang motosikal KTM Duke sambil dibonceng isteri, Suhana Othman, 43, mahu mengelak seekor babi yang melintas.

Selain Fatin Hanani dan Adib Iman, pasangan itu memiliki tiga lagi anak yang masih bersekolah iaitu, Aida Batrisya, 17; Alya Batrisya, 16, dan Adam Irfan, 15.

Tambah Fatin Hanani, walaupun adik bongsunya sudah dapat tidur nyenyak tetapi dia akan mengambil bantal peluk yang digunakan ibu bapa mereka sebagai peneman.

“Adib Iman juga lebih ceria dan sering bercerita mengenai kenangan bersama ibu dan ayah termasuk ketika mengunjungi Menara Berkembar Petronas (KLCC) tiga minggu lalu.

“Dia juga sering tanya bila nak ke KLCC lagi kerana katanya kenangan bersama ibu dan ayah di situ tidak boleh dilupakan,” katanya yang kini bersama nenek, Norain Che Lam, 72, untuk menguruskan empat adiknya.

Fatin Hanani berkata, dia akan menyambung cuti selama seminggu bagi meluangkan masa bersama adik-adiknya sebelum kembali meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Ijazah Sarjana Muda Geofizik.

Terdahulu, mereka lima beradik menerima bayaran faedah pengurusan jenazah sebanyak RM4,000 dan pencen penakat berjumlah RM1,340 sebulan yang disampaikan oleh Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah, Rak Boon Tan Rat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×