PETALING JAYA: Tiga saham yang dikaitkan ahli perniagaan Datuk Dr Yu Kuan Chon iaitu Rapid Synergy Bhd., YNH Property Bhd. dan Imaspro Corp Bhd. terus jatuh dan ditutup lebih rendah pada 5 petang, Rabu.
Saham Rapid Synergy jatuh 29.91 peratus kepada RM3.96 berbanding RM5.65 ketika ditutup pada Selasa.
Sementara itu, YNH Property ditutup 29.48 peratus lebih rendah daripada RM1.73 kelmarin, manakala saham Imaspro Corp jatuh 10.22 peratus kepada RM1.23 daripada RM1.37.
Sejak awal tahun, ketiga-tiga saham tersebut mengalami jualan besar yang mengakibatkan nilainya merosot antara 66 dan 86 peratus dalam tempoh tersebut.
Bagaimanapun, tiada sebarang pemfailan berhubung perubahan dalam pegangan saham telah dibuat setakat ini.
Kuan Chon yang memiliki 32.58 peratus kepentingan dalam YNH Property, mengalami kerugian nilai pelaburan sebanyak RM358.49 juta disebabkan penjualan berterusan yang menghapuskan RM1.1 bilion dalam permodalan pasaran sejak 9 Januari lalu.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga saham ini menyaksikan permodalan pasaran berjumlah RM3.35 bilion yang merosot dalam tempoh enam hari, disusuli dengan kerugian nilai pelaburan Kuan Chon yang sama sebanyak RM857.75 juta.
Rapid Synergy, YNH Property dan Imaspro telah menerima pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia minggu lepas dan telah memberi maklum balas kepada pengendali bursa saham tempatan.
Sebagai respons kepada Bursa Malaysia, Rapid Synergy berkata, syarikat sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjual beberapa hartanah milik kumpulan itu tetapi cadangan ini masih dalam peringkat perbincangan.-UTUSAN










