PADU perlu lebih mesra pengguna - Utusan Malaysia

PADU perlu lebih mesra pengguna

PADU disaran lebih mesra pengguna antaranya dengan tidak terlalu banyak meminta maklumat yang perlu diisi rakyat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan 2 Januari lalu perlu mesra pengguna dan tidak terlalu rumit untuk diisi terutama untuk warga emas dan penduduk di pedalaman.

Bagi menggalakkan rakyat memberi kerjasama untuk mendaftar PADU, sistem itu tidak perlu mengandungi terlalu banyak soalan atau meminta rakyat mengisi terlalu banyak butiran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Jabatan Sistem dan Teknologi Komputer Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya, Dr. Muhammad Faiz Mohd Zaki berkata, sebelum dilancarkan kerajaan sepatutnya mengambil kira kekangan teknologi dari pelbagai demografi rakyat selain mengurangkan butiran perlu diisi sendiri.

Menurut beliau, ramai beranggapan pangkalan data yang dibangunkan itu hanya memerlukan rakyat mengesahkan maklumat yang sudah diisi dalam sistem tersebut.

“Selepas dilancarkan, sistem PADU dilihat terdapat kekangan besar terutama untuk rakyat dalam kategori warga emas, taraf pendidikan tidak tinggi dan mereka yang tinggal di pedalaman.

“Sistem PADU sepatutnya direka lebih mesra rakyat agar ramai tertarik untuk mengemaskini PADU,” kata beliau.

PERTANYAAN

Kata Faiz, antara bahagian yang perlu diisi juga sepatutnya pertanyaan mesti jelas dengan apa yang dikehendaki selain PADU sangat merumitkan apabila memerlukan rakyat mengisi terlalu banyak maklumat.

“Antara bahagian yang rumit seperti rakyat perlu memasukkan maklumat peribadi seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan, serta maklumat kewangan seperti komitmen, pendapatan, dan faedah dari simpanan dan dividen,” katanya.

Selain itu, kata Faiz, kerajaan perlu ada mekanisme lain untuk meningkatkan keselamatan PADU kerana proses pendaftaran hanya memerlukan nombor kad pengenalan, poskod dan nama.

“Jika maklumat-maklumat seperti ini diperoleh dikhuatiri sistem boleh diceroboh atau disalah guna pihak ketiga,” kata beliau.

Katanya, dari segi teknikal, PADU perlu diadakan pengujian berkala bagi memastikan tahap keselamatannya terjamin.

“Rakyat Juga sedia maklum PADU tidak tertakluk kepada Akta perlindungan data peri­badi 2010 seperti yang tertulis di klausa 3.

“Oleh itu mungkin terdapat sedikit kebimbangan tentang bagaimana data ini akan diuruskan walaupun pihak kerajaan beri jaminan data hanya digunakan untuk tujuan rasmi dan akan kekal selamat,” katanya.

Sehingga 15 Januari lau, jumlah individu yang berjaya mendaftar dan mengemas kini sistem PADU ialah 1,129,770 orang di seluruh negara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×