PETALING JAYA: Ferrotec Holdings Corporation, pembekal global bagi bahan, komponen dan penyelesaian sistem ketepatan membuka fasiliti pembuatan baharunya di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, semalam.
Projek yang dipermudahkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu melibatkan pelaburan kira-kira RM850 juta dan mewujudkan lebih daripada 800 peluang pekerjaan, dengan majoriti ditujukan kepada bakat tempatan.
Menurut kenyataan bersamanya, kilang yang akan menjalankan pemasangan elektromekanikal dan fabrikasi bahan termaju untuk peralatan semikonduktor itu direka bentuk untuk memenuhi keperluan pelanggan serta mengembangkan perniagaan Kumpulan di peringkat global.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah merupakan destinasi pelaburan cemerlang bukan sahaja terkenal dengan pelancongan dan pertanian, malah dalam pembuatan.
Katanya, Kedah menawarkan lokasi yang strategik, tenaga kerja mahir dan persekitaran yang menyokong untuk syarikat berkembang maju.
“Ini terbukti dalam proses pentadbiran kami yang lancar dan faedah serta infrastruktur yang belum pernah terjadi sebelumnya yang kami tawarkan.
“Dengan inisiatif E10 (Permit Pembinaan Ekspres) yang ditubuhkan untuk memudahkan perjalanan pelabur dan rekod prestasi yang kukuh dengan syarikat multinasional yang sedia ada di sini, Kedah sudah pasti negeri pilihan untuk pelaburan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA, Lim Bee Vian berkata, Ferrotec melambangkan kepelbagaian rantaian bekalan, mengukuhkan kedudukan strategik Malaysia sebagai lokasi untuk operasi semikonduktor.
“Dengan memilih Malaysia, Ferrotec meletakkan dirinya untuk memanfaatkan peluang yang belum diterokai, memupuk inovasi dan menyumbang dengan ketara kepada landskap semikonduktor yang sentiasa berkembang di rantau ini.
“Kami akan terus bekerjasama dengan syarikat terkemuka untuk menambat perkilangan bernilai tambah tinggi, menerima pakai teknologi pembuatan termaju dan melengkapkan rakyat dengan set kemahiran yang diperlukan,” ujarnya.-UTUSAN










