PEMILIHAN jenis kediaman kini agak rumit selain faktor kenaikan harga rumah yang semakin tinggi saban tahun.
Kebanyakan kediaman di negara ini menawarkan ciri-ciri yang menarik serta lengkap dengan kemudahan.
Bagaimanapun, kediaman terbabit dijual pada harga mampu milik, tidak kurang juga harga yang tidak masuk akal terutama di kawasan Lembah Klang.
Senario itu menjadikan kediaman jenis apartmen, kondominium, pangsapuri servis mula menjadi tumpuan pembeli khusunya yang terletak di kawasan ibu kota.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, rumah yang menawarkan harga mampu milik tanpa melihat jenis kediaman itu sendiri bergantung kepada demografi serta kos sara hidup rakyat di negeri tersebut.
“Sekiranya rumah jenis apartmen dan teres yang ditawarkan di pasaran adalah harga mampu milik maka, jenis kediaman ini akan menjadi tumpuan.
“Sebaliknya, jika rumah jenis kondominium dan teres dua tingkat yang menawarkan harga mampu milik juga akan mendapat permintaan yang tinggi.
“Namun, saya percaya banglo dan rumah berkembar dua tingkat semi D kurang mendapat permintaan berbanding apartmen, kondominium dan teres satu tingkat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Jelas beliau, lokasi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menjadi pilihan pembeli rumah jenis apartmen, kondominium serta teres dua tingkat kerana faktor keupayaan kewangan isi rumah.
“Terdapat pembeli yang membeli rumah untuk diduduki.
“Maka lokasi perumahan yang menjadi tumpuan adalah ia menyediakan kemudahan infra yang lengkap seperti sekolah, stesen minyak, klinik kesihatan, kedai runcit, masjid, surau dan akses kepada jalan raya.
“Selain itu, jika pembeli terdiri daripada pelabur hartanah, maka lokasi yang strategik adalah perumahan berdekatan dengan institusi pendidikan seperti universiti dan politeknik, berhampiran hospital, kawasan bandar metropolitan dan kawasan industri serta kepadatan yang tinggi.
“Bagaimanapun, terdapat juga lokasi yang jauh daripada tempat kerja tetapi tetap mendapat permintaan tinggi kerana harga rumah jauh lebih murah,” katanya.
Selain itu, katanya, harga kediaman mula menunjukkan trend peningkatan berbanding masa Covid-19 dahulu.
“Ini kerana, boleh dikatakan harga rumah secara puratanya mengalami kenaikan antara lima hingga 10 peratus setiap tahun disebabkan oleh pelbagai faktor.
“Rumah kediaman yang ditawarkan dengan harga di antara RM250,000 hingga RM350,000 kebiasaannya akan mendapat permintaan tinggi kerana kos sara hidup dan keupayaan membayar balik pembiayaan bank menjadi faktor utama,” katanya.
Jelas beliau, bagaimanapun, bagi negeri-negeri tertentu kos rumah kediaman ada juga yang ditawarkan dengan harga bawah RM500,000 di lokasi strategik kerana kos sara hidup dan faktor ekonomi di negeri tersebut masih lagi murah.

Bagi Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Wong Woei Chyuan, jenis permintaan kediaman berbeza mengikut negeri.
“Terdapat kediaman yang paling popular diukur dengan bilangan transaksi jualan di Selangor adalah rumah dua hingga tiga tingkat, diikuti kondominium atau pangsapuri dan teres satu tingkat.
“Data Jawatankuasa Koordinator Dana Penyelidikan Harta Tanah (NAPREC) menunjukkan kediaman di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mempunyai tanah yang terhad. Oleh itu, terdapat peningkatan permintaan bagi kediaman jenis kondominium dan pangsapuri.
“Selain itu, di Johor, kediaman jenis dua hingga tiga tingkat dan satu tingkat mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.
Jelas Woei Chyuan, pembali rumah di Malaysia secara amnya menghargai tanah berbanding hartanah harga tinggi untuk privasi dan peningkatan harga (keuntungan modal).
“Keutamaan ini bagaimanapun dikekang oleh harga hartanah yang lebih tinggi di ibu kota.
“Bagi Kuala Lumpur, 49.3 peratus daripada permintaan adalah bangunan tinggi seperti kondominium dan apartmen kerana harga lebih berpatutan .
“Lokasi yang mendapat permintaan anggaran peratusan Selangor, 28.5 peratus, Petaling 20.8 peratus dan 17.8 peratus yang merupakan permintaan tinggi iaitu Petaling, Hulu Langat dan Klang.
“Kebanyakan kediaman yang dirancang ini berharga antara RM150,000 hingga RM300,000 khususnya di negeri Kedah, Perlis, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Perak,” katanya. – UTUSAN









