PETALING JAYA: Selepas merekodkan prestasi kukuh semalam, Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan negatif, apabila susut 11.97 mata ditutup pada 1,486.86 mata.
Menurut penganalisis, kemerosotan Bursa Malaysia itu selaras dengan prestasi pasaran serantau yang lemah, selain didorong oleh sentimen berhati-hati para pelabur menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Memetik laporan Bernama, Indeks dibuka 1.03 mata lebih lemah pada 1,497.8 dan bergerak antara 1,486.72 dan 1,497.8 sepanjang hari ini.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 588 berbanding 359, manakala 497 kaunter tidak berubah, 775 lagi tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 4.97 bilion unit bernilai RM2.84 bilion daripada 6.44 bilion unit bernilai RM3.77 bilion semalam.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pasaran ekuiti Asia, termasuk Bursa Malaysia, sebahagiannya dipengaruhi oleh perjuangan Indeks Hang Seng, Purata Perindustrian Dow Jones, Nasdaq dan S&P 500.
Beliau berkata sentimen di pasaran global telah lemah dengan pengukuhan dolar AS, penanda aras ekuiti merosot dan hasil Perbendaharaan AS turut jatuh.
Katanya, pemacu tepat bagi pergerakan pasaran tidak jelas sepenuhnya kerana data makro semalaman tidak menunjukkan sesuatu yang luar biasa dari segi kelemahan ekonomi.
“Faktor global yang menonjol ialah kebimbangan yang semakin meningkat menjelang data CPI AS, kerana inflasi boleh meningkat tinggi dan mungkin terdapat peralihan dalam naratif kenaikan harga apabila pedagang global mempersoalkan sama ada `pertaruhan’ pada pemotongan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS sudah terlampau,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank Bhd., CIMB Group Holdings Bhd. dan Petronas Chemicals Group Bhd. masing-masing susut 10 sen kepada RM9, RM5.95 dan RM7. Public Bank Bhd. dan Tenaga Nasional Bhd. pula turun lapan sen kepada RM4.31 dan RM10. 48.
Dalam kalangan saham aktif, TWL Holdings Bhd. naik setengah sen kepada lima sen, manakala Minetech Resources Bhd. dan Pan Malaysia Holdings Bhd. masing-masing susut satu sen kepada 22.5 sen dan 14 sen. Hong Seng Consolidated Bhd. pula susut setengah sen kepada dua sen dan Fintec Global Bhd. tidak berubah pada 1.5 sen. – UTUSAN










