PENUBUHAN ‘State Government 4’ (SG4) di empat negeri bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dicanang hebat bagi memulakan agenda dalam membangunkan ekonomi di negeri-negeri terlibat secara lebih pantas.
Cadangan penubuhan SG4 yang dicetus bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tahun lalu membabitkan gabungan negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Malah, Mahathir dilantik sebagai penasihat SG4 untuk membantu pelaksanaan pelan ekonomi itu berdasarkan pengalamannya yang pernah membawa pelabur luar ke Malaysia ketika menjadi pemimpin nombor satu negara.
Pelan SG tertumpu kepada kerangka lima kluster bagi memajukan empat buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
Lima kluster tersebut adalah infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan serta sumber dan pendapatan baharu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini dilaporkan berkata, Mahathir telah melakukan banyak penglibatan dan sesi libat urus serta berjaya membawa masuk pelaburan ke negeri yang terlibat.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu juga telah memainkan peranan aktif dalam bertemu pelabur terutamanya dari Jepun, Korea dan China.
“Saya difahamkan selepas ini ada dari Timur Tengah pula, malah sudah ada pun pelabur-pelabur yang menghubungi kita seperti dari China,” kata Ahmad Samsuri.
Pada masa sama, rakyat di empat negeri juga cukup teruja menunggu pengumuman kejayaan awal pembangunan ekonomi yang telah dicapai menerusi SG4 itu.
Sesuatu yang membanggakan rakyat di negeri itu sekiranya berlaku limpahan pembangunan, sekali gus membantu merancakkan ekonomi demi masa depan mereka.
Bagaimanapun, difahamkan setakat ini, tiada pelaburan yang memberangsangkan hasil perancangan SG4 dilaksanakan di Terengganu.
Keadaan tersebut berlaku kemungkinan pemimpin-pemimpin PN di peringkat negeri dan Pusat termasuk Mahathir sendiri saling ghairah mencatur strategi untuk ‘merampas kuasa’ Kerajaan Perpaduan daripada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin PN itu tidak dapat memberi fokus dalam pembangunan negeri kerana mereka mungkin terlalu asyik bermain politik tanpa memperdulikan kehendak rakyat yang mahu melihat negeri mereka lebih maju dan berdaya saing.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Ahmad Izani Ab. Ghani berkata, pihaknya difahamkan setakat ini, belum terlaksana projek-projek pembangunan hasil kewujudan SG4.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini masih terlalu awal untuk menilai kejayaan tersebut kerana mungkin masih di peringkat menggariskan polisi dan terma serta mengatur pelan membawa masuk projek pembangunan di negeri terlibat.
Dalam masa sama, Ahmad Izani mengharapkan SG4 dapat melibatkan pemain-pemain dalam sektor pembangunan ekonomi dalam menjayakan pelaksanaan projek yang dirancang itu.
“Pemain-pemain dalam sektor itu perlu dilibatkan dalam merealisasikan pelan pembangunan ekonomi di bawah SG4 selepas ini,” katanya. – UTUSAN










