26 individu rugi RM2.8 juta ditipu tawaran pelaburan patuh syariah

26 individu rugi RM2.8 juta ditipu tawaran pelaburan patuh syariah

Hishamuddin Hashim (duduk, dua dari kiri) menyaksikan salah seorang mangsa penipuan pelaburan membabitkan kerugian sebanyak RM2.8 juta menunjukkan laporan polis yang dibuat dalam sidang akhbar di Sungai Besi, semalam. -MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik konsep patuh syariah bagi mencari pelanggan untuk melabur dalam pinjaman tanpa cagaran.

Itu taktik syarikat koperasi yang beroperasi di Kota Bahru, Kelantan dengan menjerat 26 mangsa terdiri pesara dan petugas kerajaan sehingga mereka kerugian RM2.8 juta kerana modal dan dividen yang dijanjikan mereka tidak diperolehi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi koperasi itu adalah mencari pelanggan yang berminat menjadi ahli bagi mendapat pendapatan sampingan.

Kata beliau, pelbagai bentuk pelaburan ditawarkan kepada mangsa menggunakan nama dan syarikat sendirian berhad walhal kegiatan ini dikuasai sepenuhnya oleh ahli lembaga koperasi itu.

Jelasnya, konsep pelaburan yang ditawarkan oleh koperasi tersebut adalah dengan memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat-syarikat sendirian berhad yang tidak dimiliki oleh koperasi tersebut.

“Syarikat sendirian berhad tersebut adalah pelaksana 10 jenis skim pelaburan yang ditawarkan bagi mengabui mata dan mengelirukan mangsa-mangsa.

“Wakil atau ejen yang dilantik mereka kemudian akan memberikan representasi dan penerangan lanjut kepada para pelanggan yang berminat walhal tawaran itu hanya di atas kertas sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Kata beliau, aduan yang diterima pihak MHO mendapati, pelabur mendakwa tidak pernah melihat atau dikemukan rekod dan produk- produk pelaburan yang ditawarkan koperasi itu.

“Tawaran-tawaran program langganan saham juga dikatakan tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat-syarikat tersebut gagal dan tidak mematuhi kepada undang-undang yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengawalselia syarikat-syarikat pelaburan di Malaysia ini.

“Program skim pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut juga adalah merupakan satu janji yang tidak munasabah,” ujarnya.

Kata beliau, mangsa-mangsa didakwa tidak menerima bayaran dividen sepertimana yang telah dijanjikan oleh pihak syarikat tersebut.

“Tindakan ini adalah tidak adil dan melampau kerana mangsa-mangsa telah menggunakan wang-wang simpanan mereka untuk melabur dengan koperasi ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin menggesa pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia dan agensi terlibat menjalankan siasatan ke atas syarikat tersebut yang sewenang-wenangnya menggunakan wang-wang pelaburan yang diterima.

“Ramai mangsa mendakwa mereka telah membuat laporan polis tetapi pegawai penyiasat mengklasifikasikan kes mereka sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan rujuk agensi lain (ROA) atas alasan mempunyai perjanjian dan mangsa-mangsa telah menerima sebahagian dividen mereka.

“Ini tidak adil kepada mereka, kerana kita dapati kes ini mempunyai elemen penipuan dan pecah amanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×