IPOH: Sedih atas pemergian seorang daripada sahabat, ikon kumpulan lawak negara, Senario mahu meneruskan perjuangan seni mereka yang menghampiri usia 30 tahun.
Kesemua ahli kumpulan, Azlee, Wahid, Ilya, Yasin, Saiful Apek dan Lan Pet Pet kelmarin mengiringi jenazah rakan mereka, Hamdan Ramli, 54, untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini pukul 11.50 malam.
Keenam-enam mereka memberi ucapan kepada orang ramai di pengebumian tersebut dengan mengucapkan penghargaan kepada semua terlibat terutama bagi mengurus jenazah dan rakyat Malaysia yang mendoakan arwah.
Saiful Apek dalam ucapannya berkata, ikatan persahabatan mereka berkekalan dan mahu terus dipelihara termasuk ahli-ahli keluarga.
“Perjuangan kami tidak akan terhenti di sini,” katanya di samping ahli Senario lain di hadapan pusara Hamdan.
Yasin selaku ahli paling bongsu pula sebak berucap dengan berkata, Hamdan sering mengingatkannya tentang perintah agama dan jangan tinggal solat.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.50 tengah hari Jumaat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan seterusnya dibawa ke Ipoh untuk disembahyang sebelum dikebumikan.
Pada 31 Disember lalu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA akibat komplikasi buah pinggang semasa beliau rakan-rakan anggota kumpulan Senario lain berada di Johor untuk menjayakan Program Wonderful Night with SenarioUnion.
Azlee pula tidak menyangka pertemuan dengan rakannya, anak kelahiran Batu Gajah, Perak pada 30 Disember lalu adalah pertemuan buat kali terakhir.
“Dia memang seorang insan yang baik. Dia tidak pernah bermasam muka dengan kami. Terima kasih kepada semua yang menguruskan jenazahnya sehingga ke sini,” katanya.
Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad pilu atas pemergian rakannya itu yang banyak memberi tunjuk ajar dan baik dengan kesemua mereka.
Dua lagi ahli kumpulan Senario, Wahid serta Illya mengucapkan penghargaan kepada semua yang hadir dan memohon memberi kemaafan kepada rakannya itu sekiranya ada salah dan silap.
Wahid dan Illya bersama Hamdan membentuk trio bernama Serba Salah dengan menyertai program realiti televisyen Sinaran Pasport Kegemilangan tahun 1995 dan kemudiannya membentuk Senario bersama beberapa lagi penghibur pelawak. – UTUSAN










