PETALING JAYA: Percubaan kedua Scientex Bhd. untuk membeli tanah utama di Johor Baru daripada SP Setia Bhd, kali ini dengan harga RM548 juta, gagal lagi.
Scientex pertama kali cuba memperoleh tanah di Johor pada 2021 dengan harga RM518.1 juta.
Bagaimanapun, perjanjian itu gagal pada Mac 2023, selepas ia gagal memperoleh penepian syarat ekuiti bumiputera yang dikenakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Pada Julai 2023, kedua-dua pihak menyemak semula perjanjian itu, dengan harga baharu RM547.65 juta.
Scientex dan SP Setia dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia memberitahu, perjanjian untuk membeli tanah pegangan bebas seluas 960 ekar di Tebrau telah ditamatkan kerana tidak memenuhi syarat-syarat terdahulu dalam tempoh penyiapan lanjutan.
Menurut S P Setia, pelupusan itu ditamatkan kerana unit Scientex, Scientex Lestari Sdn. Bhd. gagal mendapatkan kelulusan EPU untuk pemerolehan tersebut.
Scientex pula berkata, SP Setia akan membayar balik deposit yang telah dibayar, bersama-sama dengan faedah terakru, mengikut syarat perjanjian jual beli (SPA).
“Selepas itu, SPA akan luput dan tidak akan berkuat kuasa lagi dan pihak-pihak akan dilepaskan daripada semua kewajipan selanjutnya di bawah SPA, kecuali bagi sebarang pelanggaran terdahulu,” tambah Scientex.
Scientex berkata, penamatan cadangan pengambilalihan tidak mempunyai sebarang kesan kewangan yang material kepada Syarikat.
Harga saham Scientex ditutup naik empat sen atau 1.02 peratus kepada RM3.97, menjadikan permodalan pasarannya sebanyak RM6.16 bilion.
Sementara harga saham S P Setia pula ditutup pada 95 sen, selepas naik dua sen atau 2.15 peratus. Pada 95 sen, saham itu bernilai RM4.14 bilion. – UTUSAN










