Ke mana perginya beras tempatan?

Ke mana perginya beras tempatan?

beras
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa wujud manipulasi dalam pengeluaran beras tempatan sehingga orang ramai berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan ruji itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Tugas-Tugas Khas PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, ini kerana pengeluaran beras putih tempatan (BPT) adalah sekitar 1.6 juta tan metrik setahun iaitu lebih 60 peratus daripada keperluan negara dan selebihnya ditampung oleh beras import.

Menurutnya, dengan jumlah beras sebanyak itu, tidak sepatutnya orang ramai berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan beras putih tempatan.

“Persoalan daripada pihak kami termasuk pihak lain ialah ke mana perginya beras yang dihasilkan oleh pesawah.

“Di sini, kami merasakan ada kemungkinan beras putih tempatan disorok atau dimanipulasi dengan menukar kampit beras tersebut menggunakan kampit import,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abdul Rashid berkata, sekiranya tidak wujud kartel seperti yang dikatakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, maka kementerian berkenaan perlu menjelaskan penyebab harga beras naik secara mendadak.

Kementerian itu dalam satu kenyataan menafikan dakwaan kewujudan kartel yang menentukan harga padi dan beras terma­suk benih padi.

Dalam kenyataannya, kementerian itu menjelaskan industri padi dan beras negara dikawal selia oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Melalui akta tersebut, kata kementerian itu, aktiviti ka­wal selia dilaksanakan dengan menerusi pelesenan dan penguatkuasaan bagi memastikan industri padi dan beras dapat berkembang dengan teratur.

Abdul Rashid berkata, pihak kementerian atau pihak yang bertanggungjawab terhadap in­dustri itu seolah-olah memandang sebelah mata berke­naan dengan isu harga beras tempatan yang meningkat dan kelewatan benih padi.

Kata beliau, sekiranya penguatkuasaan dijalankan dengan kerap dan tegas, isu harga me­ningkat dan kekurangan bekalan di pasaran tidak akan pernah berlaku.

“Berkemungkinan juga terdapat unsur sogokan sehingga masalah mengenai padi, beras dan benih padi berlarutan sehingga ke hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×