Beras: Sukar capai tahap sara diri

Beras: Kita sukar capai tahap sara diri

Kerajaan diminta naikkan harga lantai padi ke RM1,600 per tan dalam usaha mengatasi isu ketiadaan beras putih tempatan dalam pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kadar Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras negara yang disasarkan 75 peratus menjelang 2025 sukar dicapai ekoran program yang dirancang tidak mencapai sasaran.

Misalnya, program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperkenalkan pada Februari 2021 bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara, sehingga kini belum mencapai matlamatnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md. Radzi berkata, kadar SSL yang direkodkan kini hanya 63 peratus.

MUSONNEF MD. RADZI

Katanya, mengikut perancangan, SMART SBB menyasarkan 150,000 hektar kawasan bertanam padi dengan purata pengeluaran hasil tujuh tan metrik per hektar.

“Tidak sampai 70 peratus (sasaran) pun walaupun kini sudah 2024 dan hanya tinggal setahun sebelum sampai sasaran pertama iaitu 75 peratus.

“Smart SBB ibarat gerakan sulit yang membuka ruang kepada monopoli, bukan hendak meningkatkan hasil pengeluaran padi dan beras negara kerana konsep yang menghimpunkan sawah-sawah untuk dijalankan secara estet seakan tidak sesuai.

“Dalam keadaan ini apa yang perlu diutamakan adalah sistem saliran, pembekalan benih padi dan baja yang konsisten mengikut jadual barulah hasilnya dapat ditingkatkan,” katanya di sini semalam.

Tambah Musonnef, Smart SBB juga tidak diperlukan ketika ini kerana apa yang lebih penting adalah mengawal kuota benih padi agar tidak dimonopoli sesetengah kilang sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pesawah.

“Paling utama ketika ini adalah selesaikan infrastruktur seperti mana yang dilakukan di Sekinchan dan Kuala Selangor kerana di Kedah contohnya kadang kala saliran pun tidak mengikut jadual.

“Selain itu, mereka yang memonopoli industri padi dan beras negara membolot semua urusan daripada kilang beras sehingga ke kilang pengeluaran benih padi, jadi Smart SBB ini seakan membuka ruang kepada monopoli yang lebih luas,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kartel yang didakwa sudah lama menguasai industri padi negara berterusan menindas pesawah termasuk mengugut untuk tidak membeli semula benih padi jika tidak menggunakan benih padi dikeluarkan mereka.

Keadaan itu menyebabkan pesawah yang mahu meraih pendapatan lebih melalui penjualan benih padi yang mencecah RM1,900 per tan terpaksa berputih mata apabila bekalan itu terbazir begitu sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×