Utusan Malaysia jadi pilihan pelajar MRSM Balik Pulau tambah ilmu

Utusan Malaysia jadi pilihan pelajar MRSM Balik Pulau tambah ilmu

Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang, Ibrahim Abdullah (tengah) bersama para pelajar yang menggunakan akhbar Utusan Malaysia sebagai medium pembelajaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Akhbar Utusan Malaysia menjadi pilihan para pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini untuk menambah ilmu pengetahuan terutama berkaitan isu-isu semasa.

Akhbar ini mula dijadikan sebagai salah satu medium bacaan para pelajar di situ sejak November tahun lalu selepas terhenti seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua tahun lalu.

Pengetua MRSM Balik Pulau, Ibrahim Abdullah berkata, setiap hari sebanyak 30 naskhah akhbar Utusan Malaysia diedarkan di 29 kelas dan pejabat di MRSM berke­naan dan menjadi rujukan pelajar-pelajar untuk mengetahui perkembangan global dan isu-isu semasa.

“Walaupun sekarang ada medium online, naskhah akhbar merupakan satu keperluan penting untuk para pelajar supaya mereka cakna dengan perkembangan semasa.

“Isu-isu semasa yang diketengahkan akhbar Utusan Malaysia antaranya melibatkan isu Palestin dan lain-lain dapat membantu para pelajar untuk lebih matang dan mengembangkan idea mereka di dalam karangan masing-masing,” katanya ketika ditemui di MRSM Balik Pulau, di sini semalam.

Menurutnya, selain itu, Utusan Malaysia menjadi pilihan pelajar di MRSM Balik Pulau kerana mempunyai ruangan khas yang memuatkan artikel-artikel menarik mengenai pelbagai isu.

“Kosa kata yang digunakan oleh akhbar juga lebih meluas dan para pelajar boleh belajar banyak perkara melalui pembacaan.

“Memang sekarang ramai yang memperkatakan mengenai medium online, namun penggunaan akhbar secara fizikal masih lagi perlu kerana ia adalah cara yang paling efektif untuk menarik minat pelajar untuk membaca.

“Pada zaman sekarang, kalau kita lihat generasi muda akan lebih tertumpu kepada penggunaan telefon bimbit, namun kebanyakannya memilih untuk bermain game, bukannya belajar.

“Jadi, penggunaan akhbar Utusan Malaysia secara fizikal amat membantu pembelajaran pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Noralisya Syifa Adnan, 15, berkata, dia menggunakan akhbar Utusan Malaysia untuk mencari maklumat mengenai isu-isu semasa dan maklumat itu kemudiannya akan digunakan di dalam karangan Bahasa Melayu.

“Akhbar ini membolehkan kami sentiasa memperoleh maklumat terkini berkaitan isu-isu semasa dan penggunaan bahasa di dalam akhbar juga lebih santai.

“Saya sering membaca rencana-rencana yang dimuatkan di dalam akhbar ini untuk memperlajari kosa kata dan laras bahasa yang menarik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Hadif Aisy Mohd. Faris,15, berkata, dia meminati ruangan gosip artis di akhbar Utusan Malaysia kerana bacaannya santai dan dapat membantu meredakan tekanan ketika berada di asrama.

“Selain itu, isu-isu semasa yang diketengahkan di dalam akhbar ini turut membantu saya menghasilkan karangan yang baik,’’ katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×