Mampukah kuasa hegemoni AS terus bertahan?

Mampukah kuasa hegemoni AS terus bertahan?

CHINA mungkin mampu menggantikan Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa hegemoni jika kedudukannya semakin kuat dan mampu menarik sokongan kuasa-kuasa besar lain. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMERIKA Syarikat (AS) adalah kuasa hegemoni yang menguasai politik dan ekonomi dunia sejak Perang Dunia Kedua berakhir 1945. Peranan yang dimainkan oleh AS diterima oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa. Kestabilan politik yang terbentuk dan kemakmuran ekonomi yang dicapai adalah dengan mempunyai hubungan rapat dengan AS.

Struktur politik antarabangsa yang bersifat bipolar (perang dingin) banyak membantu dan memihak kepada AS. Kesatuan Soviet sebagai kuasa menentang hegemoni (counter-hegemonic power) ternyata tidak berada setaraf dan lebih rendah daripada pengaruh AS. Sebagian besar negara memihak kepada AS. Hubungan ekonomi dan perdagangan lebih berada dalam kawalan AS.

Bidang ekonomi AS ternyata berada dalam keadaan yang jauh lebih kukuh berbanding dengan apa yang dicapai dan dikuasai oleh kuasa menentang hegemoni (Kesatuan Union). Akhirnya kuasa menentang hegemoni runtuh pada Disember 1991. Dunia dikatakan berada dalam struktur yang bersifat unipolar.

Mulai awal tahun 1990-an politik dan ekonomi dunia dikuasai oleh kuasa hegemoni AS yang dikatakan bersifat unipolar, iaitu hanya satu kuasa tunggal dalam ekonomi dan politik dunia yang hanya dikuasai mereka setelah pesaing utamanya, Kesatuan Soviet runtuh.

Beberapa persoalan yang perlu difikirkan bersama dengan perkembangan baharu yang sedang berlaku? Kuasa hegemoni bukanlah satu yang tetap kekal dan terus berkuasa. Sampai masa ia akan menjadi lemah dan jatuh, kemudian satu kuasa baharu (dengan sokongan pakatan baharu) akan terbentuk.
Great Britain pernah menjadi kuasa hegemoni mulai awal abad ke-19 hingga Perang Dunia Pertama, berakhir, 1918. Begitu juga kuasa politik Islam pernah menjadi kuasa hegemoni sebelum kebangkitan Barat. Kuasa hegemoni bukanlah satu kuasa yang terus kekal.

Benarkah AS terus menjadi kuasa tunggal selepas runtuhnya Kesatuan Union 1991? Daripada analisis politik antarabangsa, AS hanya mampu bertahan untuk tempoh satu dekad sahaja sebagai kuasa unipolar. Mulai awal tahun 2000, kuasa AS telah mula dicabar dan negara itu tidak lagi dilihat sebagai sebuah kuasa unipolar. Tindakannya ke atas Iraq pada 2003 sudah tidak lagi mendapat sokongan kuasa besar lain. China dan Rusia telah menentang keputusan untuk melakukan serangan ke atas Iraq. Ini berbeza dengan sokongan yang diberikan kepada AS dalam serangan ke atas Iraq pada 15 Januari 1991. Kuasa baharu telah bangkit semula dalam tahun-tahun 1991 hingga 2001.

Peristiwa 11 September 2001 dilihat oleh ramai penganalisis politik antarabangsa sebagai justifikasi dan tindakan AS dalam mengukuhkan kedudukannya iaitu dengan menjustifikasikan siapa kawan dan siapa musuh dalam struktur baharu politik antarabangsa yang dalam proses pembinaan. Ia bukan tindakan pengganas seperti yang didakwa AS.

CHINA
Dalam proses yang berlaku sekarang, perkembangan dan kebangkitan China dilihat mempunyai ciri-ciri sebagai kuasa menentang hegemoni. Kedudukan kuasa yang disifatkan sebagai kuasa menentang hegemoni ini akan bertambah kukuh apabila mendapat sokongan daripada kuasa-kuasa besar yang lain. Kedudukan China akan bertambah kukuh apabila mendapat sokongan daripada Russia, Iran, Turki dan beberapa kuasa besar lain.

Perkembangan yang berlaku dalam konflik Israel-Palestin menampakkan unsur-unsur kebencian kepada AS dan sokongan kepada kuasa menentang hegemoni. Sikap AS yang menentang kehendak masyarakat antarabangsa terhadap isu Israel-Palestin iaitu keputusan majoriti Majlis Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan memberi kesan yang negatif kepada kekuatan negara itu sebagai kuasa hegemoni dalam jangka panjang.

Kekuatan sesebuah kuasa hegemoni dapat dilihat dalam empat aspek seperti yang dinyatakan oleh Profesor Suzan Strange iaitu kekuatan ekonomi dan pengeluaran, ketenteraan-keselamatan, kewangan serta kedudukan mata wang dan kekuatan ilmu dan tahap teknologi. Empat aspek ini digambarkan sebagai sebuah piramid yang saling mempunyai hubungan dan saling kuat-menguatkan antara satu sama lain.

Kekuatan tentera AS akan lemah jika ekonomi dan pengeluarannya lemah.

AS tidak boleh bersikap isolasi dan bertindak bertentangan dengan majoriti negara. Isu konflik Israel-Palestin yang sedang berlaku memburukkan imej AS pada kebanyakan negara dunia. Ketika mana majoriti Majlis Perhimpunan Agung PBB menyokong gencatan senjata, AS menolak. Ketika mana semua anggota Majlis Keselamatan menyokong (Great Britain berkecuali), AS tetap menentang.

AS seolah-olah membutakan mata terhadap pembunuhan kejam penduduk awam Gaza yang berjumlah belasan ribu pada masa itu.

TIDAK DIHORMATI
Masyarakat antarabangsa melihat AS tidak lagi menghormati falsafah yang dilaungkannya semata-mata kerana melindungi sekutu kuatnya Israel. Memang undang-undang membolehkan AS menggunakan kuasa veto sebagaimana yang termaktub dalam peruntukan Majlis Keselamatan, tetapi dari segi moral kemanusiaannya AS telah bertindak bertentangan.

Hakikat sejarah menunjukkan dengan jelas bahawa sesebuah kuasa hegemoni itu tidak akan terus bertahan. Dalam lingkungan satu abad, satu kuasa hegemoni baharu akan muncul menggantikan kuasa sedia ada. Kuasa hegemoni akan runtuh dan kuasa menentang akan bangkit.

Mungkin China mampu menggantikan AS jika kedudukannya semakin kuat dalam empat aspek yang dinyatakan di atas. Bukan sahaja empat faktor itu, tetapi dukungan dan sokongan kuasa-kuasa besar lain juga adalah perlu.

Dalam perkembangan sekarang andainya China berjaya menarik kerjasama negara kuasa-kuasa besar dan menyelesaikan konflik semasa dunia (seperti Israel-Palestin) akan memberi kesan positif kepada kekuatan dan kebangkitan negara itu sebagai kuasa hegemoni baharu dunia.
Sesebuah kuasa hegemoni tidak boleh bersifat isolasi dan berada di luar daripada isu yang diterima oleh masyarakat antarabangsa serta falsafah sejagat global yang diterima umum.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan dan Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×