Rakyat Palestin masak daun, rumput isi perut - Utusan Malaysia

Rakyat Palestin masak daun, rumput isi perut

Penduduk Palestin kini semakin kritikal sehingga terpaksa masak daun dan rumput untuk isi perut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bedilan bom, kebuluran, kesejukan, keletihan dan penyakit berjangkit kini menjadi ancaman utama kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza yang keadaannya semakin hari semakin kritikal.

Lebih memilukan, semakin ramai rakyat Palestin di kese­luruhan wilayah tersebut kini terpaksa memasak daun dan rumput untuk mengisi perut disebabkan bekalan makanan terhad untuk dikongsi bersama ahli keluarga.

Bukan itu saja, musim sejuk mencecah 16 darjah Celcius juga menyebabkan ramai warga emas yang terpaksa tinggal di khemah plastik nipis meninggal dunia kerana tidak mampu bertahan cuaca ekstrem.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang rakyat Palestin, Fadi Salah Laham, 41, berkata, keadaan di Gazaketika ini terlalu sukar berbanding perang yang pernah dihadapi sebelum ini.

Menurutnya, konflik perang dengan musim sejuk menyebabkan ramai rakyat Palestin termasuk ayah kepada sahabatnya meninggal dunia akibat kesejukan manakala sebahagian besar lagi mengalami kebuluran.

“Kami hanya makan sekali sehari. Itu pun terpaksa berkongsi dengan ahli keluarga lain supaya tidak kebuluran terutamanya anak-anak yang masih kecil. Ada banyak juga keluarga yang terpaksa memetik daun dan rumput untuk dimakan kerana bekalan makanan sudah habis.

“Jika keadaan ini berterusan kami tak pasti sehingga bila mampu bertahan. Kebimbangan kami adalah anak-anak yang masih kecil. Mereka terpaksa menghadapi semua ini pada usia sangat muda,” katanya.

AKTIVITI

Fadi yang juga abang ipar kepada rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, berkata, aktiviti ha­rian rakyat Palestin di Gaza pada masa ini adalah mencari air bersih dan mendapatkan bekalan makanan untuk seisi keluarga.

Selain itu, beliau berkata, kedaifan kem pelarian dan khemah plastik yang menjadi tempat berlindung rakyat Palestin menyebabkan ramai di antara mereka mengalami jangkitan penyakit berpunca daripada keadaan tempat tinggal yang tidak dapat dijaga dengan baik.

“Bagaimana kami hendak menjaga kebersihan sedangkan air bersih pun amat sukar didapati. Ubat-ubatan juga kehabisan stok. Hendak keluar dari kem pun takut kerana masih terdapat ancaman daripada tentera Israel,” katanya.

Sejak serangan Israel pada 7 Oktober lalu, Gaza kini terbahagi kepada dua bahagian iaitu di utara dengan menempatkan 500,000 rakyat Palestin manakala di selatan kini menjadi pusat perlindungan kepada hampir 1.8 juta orang.

Sementara itu, Pengerusi Muslim Care Malaysia – Palestin, Ahmed Abu Ayesh An Najjar berkata, tindakan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza adalah genosid yang sangat mengerikan dengan pembunuhan beramai-ramai dilakukan di setiap inci tanah di wilayah tersebut.

“Tidak ada kata untuk menggambarkan keadaan di Gaza. Kami sudah keletihan setelah hampir tiga bulan menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis. Serangan dilakukan setiap hari dan setiap masa.

“Kami hanya tidur tiga ke empat jam sehari sejak perang meletus. Sangat-sangat melelahkan dengan ketiadaan bekalan makanan, minuman, ubatan, pakaian dan sebagainya untuk hidup seperti orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN