SPRM siasat 9 syarikat, NGO terima RM200j

SPRM siasat 9 syarikat, NGO terima RM200j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) mendapati dana RM200 juta telah diperuntukkan kepada sembilan sya­­rikat dan sebuah pertubuhan bu­kan kerajaan (NGO) bagi tujuan promosi dan publisiti dua pro­gram di bawah pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sembilan syarikat dan NGO berkonsepkan Islam itu dipercayai te­lah dilantik oleh sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi melaksanakan projek-projek dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Kata sumber, kesemua syarikat dan NGO terbabit dikenal pasti selepas SPRM hadir ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam bagi mendapatkan dokumen berkaitan.

“SPRM hari ini sekali lagi hadir ke MOF dan JPM bagi mendapatkan dokumen-dokumen lain dalam mengesan sekiranya terdapat tambahan peruntukan lain yang dibelanjakan dua pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Selain itu, beberapa dokumen juga sedang diperoleh SPRM daripada syarikat dan NGO terlibat bagi mengesan sama ada berlaku ketirisan, ra­suah dan penyelewengan terhadap dana diberikan,” katanya di sini, semalam.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, SPRM ketika ini masih belum lagi memanggil mana-mana individu termasuk pemimpin tertinggi bagi siasatan lanjut.

Jelasnya, SPRM masih perlu mengumpul maklumat-maklumat terlebih dahulu sebelum individu-individu berkenaan dipanggil.

“SPRM ketika ini masih lagi mengesan beberapa dokumen yang diperlukan untuk melihat jumlah sebenar digunakan. Selepas itu, barulah saksi-saksi akan dipanggil,” jelasnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, siasatan telah dimulakan SPRM berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

Siasatan awal dijalankan SPRM menjurus kepada bagaimana wang tersebut di­belanjakan dan adakah proses­nya mengikut tatacara yang betul.

Dalam pada itu, SPRM telah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan, kelmarin.

Siasatan dilakukan SPRM berdasarkan maklumat awal sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran pada November tahun lalu.

Prabakan ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang di­belanjakan kerajaan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×