BAGAN DATUK: Ibu bapa murid sebuah sekolah di sini memuji pengurusan sekolah yang melaksanakan pemeriksaan suhu badan dan menggalakkan pelajar memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga mengelak jangkitan Covid-19.
Seorang ibu kepada murid di sekolah itu yang enggan dikenali memuji tindakan sekolah anaknya belajar melaksanakan SOP Covid-19 bagi memastikan penyakit itu tidak menular dalam kalangan murid.
Katanya, apatah lagi jangkitan penyakit tersebut semakin meningkat sehingga membimbangkan ibu bapa.
“Tindakan sekolah ini melaksanakan SOP Covid-19 sewajarnya dipuji sebagai langkah pencegahan untuk membendung jangkitan Covid-19.
“Ini sejajar dengan seruan kerajaan yang menggalakan murid dan guru memakai pelitup muka dan pelaksanaan SOP Covid-19.
“Sebagai ibu bapa, kami sentiasa peka terhadap kesihatan anak-anak terutama ketika mereka berada di luar dengan memastikan anak-anak tiada gejala Covid-19,” katanya.
Menurutnya, untuk memastikan anaknya memakai pelitup muka semasa ke sekolah, dia akan memastikan dalam poket baju anaknya sentiasa disediakan pelitup muka.
“Dalam poket anak saya sentiasa ada pelitup muka dan saya tidak akan membenarkan anak pergi sekolah tanpa memakai pelitup muka.
“Ke mana pun saya pergi, saya akan memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan jangkitan Covid-19,” katanya.
Seorang murid di sekolah itu yang enggan dikenali berkata, dia dan rakan-rakannya tiada masalah mematuhi SOP Covid-19.
“Saya pakai pelitup muka bukan hanya kerana disuruh pihak sekolah tetapi atas kesedaran sendiri.” jelasnya. –UTUSAN










