Afiq, pelukis OKU potret jalanan

Afiq, pelukis OKU potret jalanan

CHEE Hung atau Afiq menunjukkan lukisan potret yang dihasilkannya ketika ditemui di Kuala Kangsar semalam. – UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Menaiki bas sejauh kira-kira 50 kilo­meter hampir setiap hari antara Sungai Siput ke Kuala Kangsar atau Taiping sudah menjadi rutin buat pemuda orang kurang upaya (OKU), Lee Chee Hung, 26, untuk mencari rezeki sebagai pelukis jalanan.

Sudah empat tahun Chee Hung atau dikenali sebagai Afiq berbuat demikian menawarkan perkhidmatan lukisan potret berunsur kartun kepada pengunjung di kawasan tum­puan khususnya lokasi gerai makanan.

Dia yang lembam pembelajaran mengasah bakat melukis selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah, Sungai Siput dan mula aktif pada usia 19 tahun.

“Dalam sehari boleh dapat lima hingga 10 pelanggan,” katanya yang mengenakan bayaran antara RM10 hingga RM30.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu memberitahu, dia meminati seni lukis sejak di bangku sekolah dengan melukis kartun popular seperti Dora­emon dan Mickey Mouse.

Selepas tamat persekolahan, dia memberanikan diri menawarkan khidmat melukis di pasar malam sekitar Sungai Siput. Kesungguhannya mendapat perhatian pelukis lain untuk memberi tunjuk ajar bagi me­ningkatkan kualiti karyanya.

Sewaktu ditemui, dia menceritakan tentang khidmat yang ditawarkan, antaranya lukisan hitam putih atau berwarna, peralatan digunakan serta teknik mengolah lukisan menggunakan jari.

Pemuda itu turut menguar-uarkan atau mempromosikan khidmatnya dalam pelbagai laman media sosial.

Bekas gurunya di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Muhibbah, Mohd. Yusreen Darmawan berkata, Afiq mempunyai bakat melukis dan kerap menunjukkan hasil lukisannya kepada beliau serta tenaga pengajar lain.

“Ilmu lukisan dia belajar sendiri. Pada mulanya (lukisan) macam orang lidi sahaja. Selepas tamat persekolahan. Dia mula menjadi pelukis di pasar malam dan taman permainan. Saya sering bertemu dia dan memberi dorongan untuk terus belajar melukis,” katanya.

Rakan kepada Afiq yang juga seorang pelukis jalanan, Angah Rahim berkata, pemuda berbangsa Cina itu boleh terus maju kerana tidak malu untuk berdepan orang ramai dan bersungguh-sungguh dengan bidang diceburinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×