MERSING: Seorang pemuda nekad meninggalkan bidang kejuruteraan semata-mata mahu mengusahakan tanah keluarganya di Kampung Sawah Dato’, di sini dengan tanaman pisang.
Selain yakin dengan potensi tanaman itu, Abdul Mu’iz Hanafiah, 29, juga mahu mengikuti jejak ayahnya menceburi bidang pertanian.
Anak ketiga daripada empat beradik itu yang pernah bekerja sebagai jurutera sistem mengusahakan kira-kira 5,000 pokok pisang seperti berangan, nipah, tanduk dan lemak manis di atas tanah lebih dua hektar.
“Setakat ini, saya membekalkan hasil tanaman kepada lebih 10 peniaga dan mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan. Kejayaan ini sedikit sebanyak hasil latihan serta bimbingan dalam kursus pengukuhan usahawan pertanian dan industri asas tani yang disertai.
“Saya juga merupakan peserta program Yayasan Petronas Empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan sehingga berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga dalam bidang pertanian pada Oktober lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lulusan Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Komputer) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut merancang mengembangkan lagi perusahaannya dengan menceburi aktiviti yang lebih berteraskan ekopelancongan.
“Pada masa ini, saya mempunyai dua kabin yang dijadikan penginapan bagi mereka yang berminat untuk merasai pengalaman unik bermalam di ladang pisang. Saya bercadang untuk menambah aktiviti dan perkhidmatan seperti memberi peluang orang ramai merasai keenakan pelbagai jenis pisang yang ditanam serta pengeluaran pelbagai jenis produk hiliran yang dihasilkan daripada tanaman itu,” katanya.
Abdul Mu’iz berkata, sektor pertanian negara kini menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pembiayaan dan latihan kepada pengusaha untuk menghasilkan pendapatan yang baik.
Kini dia juga giat meningkatkan hasil pengeluaran bagi membantu memudahkan penduduk setempat mendapatkan bekalan tanaman itu.
“Jika sudah ada minat, berusaha dan rebutlah peluang dengan belajar serta tambah ilmu menerusi kursus yang disediakan dan insya-Allah boleh berjaya, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import bekalan makanan. Selain ilmu pengurusan kebun, saya juga diberi pendedahan tentang teknik pemasaran bagi meyakinkan pelanggan untuk terus mengambil produk kita,” katanya.
Setakat ini Yayasan Petronas dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya melahirkan lebih 1,400 usahawan dan tenaga kerja berkemahiran di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Kerjaya itu dicapai menerusi Program Yayasan Petronas Empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang bertujuan meningkatkan taraf hidup peserta dengan meningkatkan kemahiran, memberi bimbingan dan mendorong peserta ke arah keusahawanan yang lestari, terjamin dan progresif sejak 2020. – UTUSAN










