SAYA berpeluang menghadiri wacana sebuah pertubuhan antarabangsa di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang turut dihadiri ahli badan gabungan pertubuhan berkenaan di negara ini. Pertubuhan itu diwakili anggota kanan dari lima negara termasuk Malaysia. Mereka telah ‘diserang hendap’ oleh perwakilan dari Malaysia atas tuduhan tidak berintegriti, tidak tahu tatakelola dan tidak telus serta tidak faham proses membuat keputusan.
Wakil negara luar yang hadir itu mempunyai pengalaman hampir 40 tahun dalam pengurusan dalaman organisasi tersebut. Mereka inilah yang membuat undang-undang persekutuan dan terlibat secara harian dengan organisasi lain di peringkat antarabangsa yang lebih tinggi.
Tuduhan itu secara terang berniat jahat. Amat tidak beradab dan tidak beretika apabila perwakilan yang mengeluarkan tuduhan itu terus keluar dari dewan selepas membuat tuduhan tanpa memberi bukti atau menunggu sesi jawapan atau berdialog dengan tetamu yang datang dari jauh. Tambah memalukan apabila individu itu adalah bekas pengetua sekolah terkemuka di negara ini.
Bagi menghapuskan musuh, manusia akan melakukan apa sahaja untuk memperleceh dan membunuh mereka. Pembunuhan karakter dengan menuduh musuh dengan hal berkaitan integriti sebenarnya telah lama berlaku. Ia adalah satu rahsia dan strategi jahat yang telah diketahui umum di seluruh dunia. Apabila diminta bukti, si penuduh akan melarikan diri atau sekadar diam meminta simpati.
Nama Malaysia akan terjejas teruk di peringkat antarabangsa jika sikap seperti ini diteruskan pada masa hadapan. Individu pemimpin akan datang dan pergi namun nama negara akan terkenal dengan sikap negatif yang akan dikenang zaman berzaman.
Mengetahui apakah integriti adalah satu perkara yang amat baik namun mempunyainya atau mengamalkannya adalah satu perkara lain. Mengetahui mengenainya sahaja tidak menjadikan kita sebagai individu yang berintegriti. Berlagak mempunyainya padahal tidak, ia menjadikan seseorang itu lebih tidak berintegriti.
Integriti yang kekal sebagai peribadi seseorang tidak boleh diperoleh dengan satu perbuatan sahaja. Ia adalah keseluruhan sifat-sifat baik yang dilakukannya sepanjang hayatnya. Apabila melihat seseorang, pastinya kita tidak hanya melihat wajahnya, hidungnya, pakaiannya dan lain-lain.
Integriti adalah sifat yang kompleks dan pelbagai dimensi yang menjadikannya sukar untuk dinilai dalam satu perjumpaan atau interaksi ringkas. Sering kali, pandangan pertama adalah berasaskan faktor-faktor yang bersifat ‘permukaan’ atau boleh dilihat secara fizikal seperti penampilan, tingkah laku atau tindakan awal. Walaupun petunjuk awal ini boleh memberikan gambaran awal namun ia tidak mencukupi untuk membuat penilaian yang konklusif tentang integriti seseorang.
Jadi, penting untuk memahami bahawa menilai integriti memerlukan pemahaman yang lebih komprehensif tentang tingkah laku dan sejarah serta nilai seseorang dari semasa ke semasa. Dalam hubungan profesional, satu perjumpaan ringkas mungkin tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk menentukan watak sebenar seseorang. Ia mesti melalui interaksi yang konsisten, mengamati pilihan etika dan menyiasat tindakan mereka yang membolehkan kita membentuk penilaian yang lebih tepat tentang integriti seseorang.
Apabila mata terpandang wajah seseorang dan mengenalinya, dengan sekelip mata otak membuat analisis tentang apa yang diketahui dan mengeluarkan kesimpulan berdasarkan fakta-fakta itu.
Kita perlu melampaui pemerhatian ‘di permukaan’ atau dengar cakap orang serta menyelidik latar belakang sejarah, tindakan dan nilai mereka untuk benar-benar memahamai integriti seseorang. Perjalanan untuk mengungkap integriti seseorang sering melibatkan pembinaan hubungan yang lebih mendalam dan mendapatkan perincian tentang watak mereka.
Jika individu itu mampu bertahan memimpin sesuatu organisasi selama berpuluh-puluh tahun, pastilah inegriti mereka bagus dan mereka mempunyai sistem semak dan imbang yang berkesan.
CEMAR INTEGRITI
Tindakan mencemarkan integriti seseorang tanpa bukti yang kukuh boleh menjadi ketidakadilan yang serius. Tuduhan seperti itu boleh membawa kesan serius terhadap kehidupan peribadi dan profesional seseorang.
Bayangkan seorang rakan sekerja menyebarkan desas-desus palsu tentang etika kerja anda, mengatakan bahawa anda tidak jujur dan tidak beretika. Tanpa bukti untuk menyokong tuduhan ini, reputasi anda dalam syarikat telah ternoda. Rakan sekerja dan ketua mungkin mula melihat anda dengan sangsi dan prospek kerjaya anda mungkin terjejas, semua kerana tuduhan yang tidak berasas.
Dalam arena politik pula, kempen fitnah semakin menjadi lumrah di negara ini. Seorang calon mungkin didakwa secara palsu dengan salah laku kewangan atau tingkah laku tidak beretika tanpa bukti yang kukuh.
Walaupun tuduhan itu kemudiannya dibuktikan tidak betul, kerosakan reputasi dan kredibiliti mereka mungkin tidak dapat diperbaiki.
Dalam hubungan peribadi, tuduhan yang tidak berasas boleh membawa kepada keruntuhan kepercayaan dan keharmonian. Sebagai contoh, seseorang mungkin menuduh secara palsu pasangannya berlaku tidak setia yang membawa kepada runtuhnya hubungan. Tuduhan seperti ini boleh mencipta trauma emosi dan kerosakan yang sukar diperbaiki.
Kerana itu amat penting untuk mengetahui prinsip ‘tidak bersalah sehingga terbukti bersalah’ yang tidak hanya terpakai dalam proses undang-undang tetapi juga dalam interaksi harian. Tuduhan perbuatan salah haruslah berasaskan bukti yang kukuh dan keadilan harus dikekalkan dalam menilai integriti seseorang.
Sebagai seorang pemerhati rasuah negara dan sering meneliti pelbagai kes diperingkat antrabangsa, saya boleh membuat anggapan bahawa 80 peratus tuduhan berkaitan integriti atau tatakelola tidak dapat dibuktikan manakala dari 20 peratus yang disertakan bukti untuk perbicaraan dan akhirnya hanya separuh sahaja yang didapati benar dan boleh dihukum.
Pendek kata, kita tidak boleh sorok dan kita tidak boleh berpura-pura dalam hal berkaitan integriti. Integriti akan terserlah dengan sendirinya. Percayalah akhirnya kejujuran mengatasi segala-galanya.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










