SSPA akan disegerakan – PM

SSPA akan disegerakan – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi manfaat penjawat awam selepas ia tertangguh ekoran kedudukan kewangan negara yang dibebani hutang terdahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu tidak dapat dilaksanakan tahun lalu ekoran Kerajaan Perpaduan mewarisi kedudukan hutang terdahulu yang tinggi iaitu sebanyak RM1.5 trilion dengan defisit sekitar 5.6 peratus.

“Alhamdulillah, dengan pimpinan kerajaan dan semua yang terlibat, kita dapat kurangkan (defisit) kepada lima peratus.

“Maknanya, kalau kita ada fokus jelas dan komitmen untuk laksana dengan baik, saya percaya ia boleh dilakukan se­perti pelancaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU),” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar mahu kajian SSPA dilaksanakan ketika ini dapat memberi maklum balas positif membabitkan kenaikan gaji yang drastik.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penyelarasan gaji penjawat awam itu perlu dibuat selari maksud slogan anjakan paradigma yang sering dilaungkan.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, kerajaan meng­umumkan pemberian Bayaran Insentif Awal SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

Ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, bayaran insentif terbabit akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak peduli mengenai ranca­ngan sulit terbaharu ‘Langkah Du­bai’ untuk menggulingkan kerajaan.

Anwar berkata, rancangan dianggotai segelintir pihak itu tidak memberi kesan kepada gerak kerja kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Saya ada terbaca mengenai Langkah Dubai di media sosial tetapi bagi saya, kita tumpu soal kerja.

“(Langkah Dubai) itu kerja mereka (namun) bagi saya (ia) tidak memberi kesan (kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan),” katanya

Dalam masa sama, kerajaan memberi amaran bahawa ‘tokoh kenamaan’ dan ‘jerung’ (sindiket dadah) tidak akan terlepas daripada sebarang siasatan rasuah dan jenayah.

Anwar berkata, kerajaan akan bertindak tegas dalam hal itu tidak kira apa latar belakang sekali pun.

“Kamu curi dana negara, kamu punggah kekayaan negara, sama ada kamu Perdana Menteri, Menteri Kewangan, menteri-menteri, kamu ingat, kita terpaksa bertindak dengan tegas untuk menyelamatkan negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×