5 tahun diburu, ‘raja’ dadah Malaysia diberkas di Laos

5 tahun diburu, ‘raja’ dadah Malaysia diberkas di Laos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki rakyat Malaysia yang digelar ‘raja’ dadah telah diberkas di Laos pada 29 Di­sember lepas selepas diburu sejak lima tahun lalu.

Lelaki itu berada dalam senarai individu dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018.

Penahanan suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Pa­rit Buntar, Perak itu hasil pertu­karan maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Nar­ko­tik (JSJN) Bukit Aman dengan Pejabat Lembaga Kawalan Nar­kotik (ONCB) dan Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand.

Lelaki terbabit adalah dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.

Utusan Malaysia difahamkan, lelaki berkenaan telah berkahwin dan keluarganya masih di Malaysia selepas dia ke sana bersendirian.

Suspek juga dikehendaki pihak berkuasa Thailand kera­na menjadi dalang utama sin­diket pengedaran dadah yang ditumpaskan ekoran rampasan 998 kilogram kristal methamphetamine di wilayah Ratcha­bu­ri pada Jun tahun lalu.

Susulan daripada itu, suspek dikatakan melarikan diri ke Laos dan bersembunyi di sana dan tidak pernah kembali ke negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, PDRM dimaklumkan mengenai penahanan rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa di Vientiane, Laos atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di bawah Akta Imigresen negara berkenaan pada 28 Disember tahun lalu.

Kata beliau, pihak ONCB Thailand mencadangkan kepada polis Laos supaya suspek diusir ke Thailand kerana telah disenarai hitamkan di bawah kesalahan akta dadah.

“Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dadah di negara ini.

“PDRM khususnya JSJN kini sedang bekerjasama dengan pihak ONCB dan polis Laos bagi menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan,” kata­nya di sini.

Tambah beliau, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dan segala tindakan yang perlu akan diambil untuk memastikan kegiatan pengedaran dan penyelundupan dadah menjadi ancaman negara dapat dibanteras tanpa kompromi.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelarian warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand kerana menyeludup dadah ditahan selepas bersembunyi di Laos.

Suspek dipercayai menggunakan Thailand untuk pe­ngubahan wang haram dan sebagai tempat transit penyeludupan dadah, termasuk ke negara ketiga seperti Malaysia, Taiwan dan Australia.

Susulan penahanan itu juga, pihak berkuasa Thailand turut merampas aset lelaki itu, termasuk sebidang tanah dengan bangunan dan dua kondomi­nium.

Turut dirampas adalah tiga kapal layar, dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai dan barang berharga lain di Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri.

Jumlah anggaran nilai aset yang dirampas ialah RM11 juta (85 juta baht). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×