UMNO sentiasa tegas, tidak akan jadi 'penjilat' DAP

UMNO sentiasa tegas, tidak akan jadi ‘penjilat’ DAP

MUSTAPHA YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO mene­gaskan parti itu kekal dengan prinsip yang diperjuangkan sejak dahulu walaupun kini berada di dalam Kerajaan Perpaduan bersama dengan seteru lama, DAP.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Ya­akub berkata, partinya tidak akan berkompromi dan sentiasa tegas sekiranya melibatkan isu orang Melayu dan agama Islam walaupun dibangkitkan oleh pemimpin lain dalam kerajaan.

Jelas beliau, UMNO sentiasa bertegas dengan pemimpin-pemimpin DAP yang sering menimbulkan isu kurang se­nang membabitkan dua perkara tersebut dan tidak sesekali menjadi ‘penjilat’ parti itu.

“Semasa Pas dengan DAP dahulu (era Pakatan Rakyat) apa mereka buat? Adakah ketika itu mereka tegas? Adakah Pas ada buat sesuatu apabila dahulu DAP menyentuh hal orang Melayu dan agama Islam? UMNO baru setahun lebih bersama parti tersebut.

“Adakah DAP ketika itu tidak mengeluarkan kenyataan-kenya­taan yang sensitif dalam kala­ngan orang Melayu dan beragama Islam Jadi jangan anggap isu-isu terjadi sebelum ini menandakan UMNO tidak tegas.

“Tidak perlu jaga hal UMNO, kita tahu apa perlu dilakukan dan kami juga tahu hendak letak sempadan dengan kawan-kawan di dalam kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan, Pas mempersoalkan UMNO khususnya kepemimpinan tertinggi parti itu yang dilihat ‘menikus’ terhadap sikap pemimpin DAP yang sudah beberapa kali mengeluarkan ke­nyataan yang boleh mengganggu-gugat sensitiviti umat Islam dan Melayu di negara ini.

Mengulas lanjut, Mustapha ber­kata, pemimpin-pemimpin Pas masih ‘dihantui’ oleh kegagalan menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan beberapa kali me­nebuk ‘atap’ kerajaan.

“Jadi mereka tidak ada cari lain, mereka buat seperti ini. Konon nak cucuk atau melagakan parti di dalam kerajaan ke­rana kalau boleh mereka mahu UMNO berpisah dengan DAP sebab mereka ada cadangan sekiranya DAP keluar mereka akan dekat kembali dengan parti tesebut untuk menjadi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, beliau menyi­fatkan tindakan segelintir pe­mimpin-pemimpin DAP me­ngeluarkan kenyataan yang menimbulkan perasaan tidak senang itu adalah berpunca daripada masalah dalam parti tersebut sendiri.

“Kita tahu ada gerakan untuk mensabotaj Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan dibuat oleh pemimpin tertentu dan kuncu-kuncunya. Ini masalah dalaman mereka jadi kita serah pada Antony Loke memperbetulkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×