HARI ini Malaysia gah di persada dunia kerana pemimpin terdahulu yang bijak dan berkaliber. Hari ini, suara Malaysia didengari oleh pemimpin dunia kerana kebijaksanaan pemimpin kita. Hari ini, Malaysia kekal berdaulat kerana ketajaman pemimpin kita dalam menangani suatu isu yang hampir meranapkan nama Malaysia di peta dunia iaitu peristiwa 13 Mei 1969.
Di penjuru jantung kita masih segar dan berdegup akan isu 13 Mei 1969. Isu yang hampir melumpuhkan perpaduan dan kedaulatan negara dalam sekelip mata. Suatu peristiwa hitam yang wajib dijadikan teladan dan ikhtibar bersama terutamanya generasi abad ke-21 ini.
MAGERAN
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan tiga hari selepas peristiwa 13 Mei 1969. MAGERAN dipengerusikan oleh Bapa Pembangunan iaitu Allayarham Tun Abdul Razak.
Kebijaksanaan beliau bersama Tan Sri Ghazali Shafie, Jeneral Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Leftenan Jeneral Datuk Ibrahim Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun V.T. Sambanthan, Datuk Seri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Mohamed Salleh Ismael, Tan Sri Abdul Kader Ismail, Abdul Rahman Hamidon, Lt. Kolonel Mohamad Ghazali Che Mat, Tun Mohammed Hanif Omar, Mohamad Yusof Abdul Rashid dan Kolenel K. C. Chan Jar telah memekarkan sebutir emas yang bergelar Rukun Negara.
Rukun negara menjadi identiti kedaulatan negara. Suatu identiti yang berbentuk kohesif yang mereka bentuk bangsa Malaysia, atas norma-norma masyarakat tempatan. Identiti ini telah menjalinkan hubungan baik kita dengan kuasa luar.
Menjadi tanggungjawab kita bersama dalam menyelami serta menjiwai setiap maksud tersurat dan tersirat dalam Rukun Negara. Suatu ketika dahulu, lima prinsip Rukun Negara, harus menjadi cara hidup kita, berkumandang setiap hari di setiap ruang udara di negara kita. Ke manakah hilangnya lirik-lirik lagu yang dicipta oleh Datuk Wah Idris itu?
5 PRINSIP TULEN
Kepercayaan kepada Tuhan, prinsip pertama rukun negara. Islam menjadi agama rasmi Persekutuan. Tuhan diletakkan sebagai asas dalam membentuk kepercayaan. Tiada kuasa yang lebih besar daripada-Nya. Apa sahaja amalan kepercayaan kita, di bumi ini, semuanya berpaksikan kepada-Nya. Kita harus patuh dan taat setia pada ajaran masing-masing. Sebagai insan yang beriman dan bertakwa kita sudah tentu tidak akan terfikir untuk menganiaya mana-mana pihak. Prinsip pertama ini mampu membentuk identiti kedaulatan negara.
Rukun kedua, kesetiaan kepada raja dan negara. Raja berperlembagaan menjadi asas pembentukan Malaysia. Kita harus taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan, Yang di-Pertuan Negeri dan Yang di-Pertuan Besar. Baginda dan naungan Raja-Raja Melayu merupakan simbol perpaduan negara. Ketaatan setiap warga Malaysia wajib berada di tahap maksimum.
Kita tidak boleh, hanya menyerahkan pemberat tugasan dalam mempertahankan negara kepada para prajurit semata-mata. Kita juga harus menjadi mata-mata dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara. Kini ancaman bukan sahaja dalam bentuk ketenteraan atau pun secara fizikal tetapi pada abad ke-21 ini berbentuk digital. Pengodaman data menjadi kebimbangan semua pihak. Jadi janganlah kita gadaikan bumi Malaysia hanya kerana wang ringgit yang tidak seberapa.
Prinsip yang ketiga pula ialah keluhuran perlembagaan. Keluhuran membawa erti kemuliaan. Kita sebagai warga madani wajib menjaga kemuliaan perlembagaan yang dibentuk melalui Suruhanjaya Reid dan Suruhanjaya Cobbold. Sebagai kuasa undang-undang yang tertinggi di negara, kita seharusnya menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran perlembagaan. Bayangkan, jika kita sendiri yang degil melawan arus, siapakah yang akan menongkah perahu perlembagaan?
Kedaulatan undang-undang menjadi prinsip keempat Rukun Negara. Undang-undang di negara kita diperincikan dan dinyatakan dengan jelas. Ia menjadi panduan untuk semua pihak. Baik pemimpin mahupun rakyat hendaklah mendaulatkan undang-undang yang telah diwartakan. Kalau dah tahu melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, jangan sesekali terdaya atau terperdaya untuk melakukannya. Jika tidak, bukan sahaja badan binasa bahkan ia akan menjadi virus yang lebih kronik daripada Covid-19.
Prinsip kelima, kesopanan dan kesusilaan. Prinsip ini, jika ditelusuri mampu membentuk seorang insan yang berpersonaliti tinggi dan berbudi pekerti. Suatu nilai yang menjadi darah daging kita. Suatu yang telah menjadi amalan kita. Malaysia dihormati dan disegani di serata dunia, hanya kerana kemuliaan adab kita. Rakyat Malaysia disanjung dan dipuji oleh masyarakat bumi ini. Jadi menjadi tanggungjawab dan peranan generasi abad ke-21, untuk mengekalkan dan meneruskan tradisi dan amalan-amalan thayyibun.
Kini tiba masanya untuk semua pihak berganding bahu, membugarkan Rukun Negara. Prinsip-prinsip ini harus diuar-uarkan di segenap sudut di negara kita. Dari Padang Besar, Perlis sehinggalah ke muara Sungai Limbang, Sarawak, propaganda secara besar-besaran harus disuburkan dan disemarakkan.
LANGKAH DRASTIK
Papan iklan memaparkan lima prinsip Rukun Negara harus dijadikan sebagai medan untuk menyemarakkan cinta akan Rukun Negara. Dari bandar raya besar Kuala Lumpur sehinggalah pekan kecil Kiulu, Sabah digalakkan mengiklankan unsur-unsur Rukun Negara.
Muka depan akhbar-akhbar tempatan, majalah, risalah dan semua jenis bahan cetak harus memberi ruangan khas untuk mempromosikan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Semua institusi pendidikan bermula dari prasekolah sehingga menara gading diwajibkan melafazkan prinsip-prinsip Rukun Negara pada setiap hari sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran dimulakan.
Industri muzik dan perfileman harus memainkan peranan yang lebih progresif. Ciptaan lagu-lagu yang berteraskan Rukun Negara hendaklah digalakkan. Insentif cukai untuk lagu-lagu Rukun Negara mampu menyerikan para pencipta lirik dan lagu. Penyiaran lagu-lagu itu di media elektronik mampu menarik generasi muda untuk menghayati dan mencintai Rukun Negara.
Penyatuan hati setiap rakyat Malaysia, demi menyemarakkan Rukun Negara mampu mendukung Malaysia ke arah global dengan acuan kita sendiri.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang.










