PETALING JAYA: Hukuman sebatan perlu dikenakan segera terhadap pesalah rasuah bagi membanteras jenayah salah guna kuasa itu di negara ini.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, para hakim perlu tegas dalam menjatuhkan hukuman maksimum ke atas pesalah.
Katanya, kedua-dua perkara itu perlu dilaksana kerana isu perundangan yang masih kurang berkesan dan menakutkan pelakunya merupakan antara tiga cabaran yang memerlukan perhatian serius dalam mendepani isu berkaitan rasuah pada 2024.

“Seterusnya, komitmen menambah baik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang belum kesampaian. Reformasi autonomi SPRM dan Pelan Antirasuah Nasional yang terkini mesti disegerakan demi menyokong usaha pencegahan dan kesan yang maksimum.
“Selain itu, tambah baik teknologi dan digitalisasi kerana cabaran dalam menangani rasuah yang melibatkan teknologi terkini dan penggunaan platform digital semakin kompleks,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan memerangi rasuah antara beberapa cabaran utama 2024 selain menyaksikan langkah berani kerajaan melaksana subsidi bersasar.
Mengulas lanjut, Jais berkata, kerajaan perlu mengambil langkah berani bagi menangani cabaran berkaitan rasuah itu tahun depan. Katanya, ia termasuk menguatkuasakan undang-undang rasuah yang lebih ketat dan memberi hukuman setimpal untuk mengurangkan insiden rasuah.
“Memberikan peruntukan tambahan kepada SPRM dan Institut Integriti Malaysia (IIM) serta organisasi masyarakat yang komited untuk membolehkan mereka berfungsi dengan lebih efektif.
“Meningkatkan keupayaan teknologi dan kecekapan digital dalam membanteras dan mencegah rasuah dalam konteks semasa,” katanya. Pada masa sama, beliau menyifatkan, kejatuhan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia selama tiga tahun berturut-turut sebelum ini bukanlah bukti kurangnya keberkesanan langkah-langkah kerajaan dalam menangani isu rasuah.
Katanya, ini kerana masalah tersebut sudah lama berlaku dan pastinya perlukan lebih masa untuk mengatasinya.
“Justeru, amat penting untuk kita menyelidik dan menyelaraskan semula strategi serta langkah-langkah baharu bagi memastikan bahawa semua tindakan yang bakal diambil memberikan impak positif dan memulihkan kepercayaan awam,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Karim berkata, kerajaan perlu terus berani menyiasat individu berpengaruh tanpa mengira pangkat atau darjat untuk membanteras rasuah.
Menurut beliau, ini kerana kebanyakan rasuah berlaku di kalangan pemimpin kerajaan dan ahli politik yang ada kuasa, maka sampai masa perlu tindakan yang serius.
“Saya menyokong tangkapan SPRM terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, itu satu tindakan positif, tetapi tidak cukup hanya kepada seorang sahaja.
“SPRM dan kerajaan (boleh) jalankan siasatan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas beliau pun setuju ‘Tun’ perlu disiasat, namun bukan untuk salah gunakan kuasa siasatan itu, tetapi jika ada aduan atau kes, maka siasat juga Tun Mahathir sebab beliau berkuasa begitu lama.
“Jadi perlu bermula daripada pemimpin, orang besar, Tun atau Tan Sri. Cuma bukan saja-saja cari salah, mesti melalui proses. Amalan rasuah ini kalau betul-betul mahu dibanteras perlu bermula dengan kepala besar dan tiada siapa boleh lepas,” katanya. – UTUSAN










