PUTRAJAYA: Tindakan syarikat terkemuka antara ribuan entiti perniagaan yang culas membayar cukai menyebabkan tunggakan hutang terkumpul kini menjangkau RM4 bilion.
Lebih mengejutkan, sebahagian entiti tersebut yang merupakan syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia didapati gagal berbuat demikian dalam tempoh dua hingga lima tahun.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya tidak berdiam diri malah sudah bertindak untuk mengutip kesemua tunggakan hutang-hutang tersebut.
Katanya,hutang tersebut bukan sahaja terkumpul dalam tempoh terkini, malah sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan sebelum ditukar semula kepada sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).
Jelas beliau, jumlah itu melibatkan RM2.06 bilion pada tahun 2018 serta RM2 bilion masing-masing pada tahun 2019 dan 2020.
“Ada antara mereka yang telah menyelesaikan hutang tersebut secara ansuran namun masih ada yang berdegil. Malah segelintir ahli lembaga pengarah syarikat turut dikenal pasti disenaraihitamkan untuk ke luar negara akibat kegagalan melangsaikan tunggakan tersebut.
“Walaupun peringatan tegas serta notis diberikan namun masih ada antara syarikat tersebut yang mengambil sikap tidak peduli terhadap perkara itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JKDM di Putrajaya semalam.
Mengulas lanjut, kata Abdul Latif, jumlah tunggakan tersebut termasuklah duti import, duti eksais, cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
“Kita mohon syarikat-syarikat ini dapat menjelaskan hutang tersebut, sekiranya kita dapati masih ada yang degil, kita akan mengambil tindakan perundangan.
“Bukan itu sahaja, jika berjaya dibawa ke mahkamah, syarikat mereka boleh diisytiharkan muflis,” tegasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Abdul Latif memberitahu, meskipun negara telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, sebanyak RM38.666 bilion hasil berjaya dikutip JKDM sepanjang tempoh itu.
Ujar beliau, kutipan itu lebih tinggi berbanding unjuran ditetapkan selain agensi tersebut berjaya menutup ketirisan hasil negara yang dianggarkan bernilai RM5.381 bilion, melepasi sasaran RM2.963 bilion pada 2019.
“Ketirisan hasil itu terdiri daripada cukai daripada aktiviti penyeludupan seperti rokok, arak dan pelbagai barangan.
“Dalam tempoh sama sebanyak 2,104 kes berkaitan rokok direkodkan membabitkan anggaran 894.463 juta batang rokok dengan nilai mencecah RM74.969 juta dan jumlah cukai atau duti terlibat RM661.902 juta.
“Bagi kes membabitkan minuman keras dan bir pula, Abdul Latif berkata JKDM merekodkan 738 kes dengan anggaran rampasan sebanyak 1.739 juta liter dan nilai rampasan sebanyak RM22.366 juta serta duti atau cukai sebanyak RM45.243 juta,” katanya. – UTUSAN











