Risiko dapat kanser naik dua kali ganda

Risiko dapat kanser naik dua kali ganda

HANYA ada 175 pakar onkologi di seluruh negara manakala jumlah pesakit direkodkan adalah sebanyak 48,639 orang dengan nisbah seorang doktor merawat 277 pesakit.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Risiko rakyat Malaysia mendapat kanser dijangka bertambah dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding ketika ini sekali gus berkemungkinan menyaksikan peningkatan drastik kes kanser dalam tempoh tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengurusan Kanser Malaysia (Cancercare), Amin Ali Sidik berkata, unjuran itu adalah berdasarkan kajian yang sedang dijalankan berkaitan pelbagai faktor risiko yang rakyat Malaysia terdedah.

Menurut Amin Ali, antaranya pencemaran termasuk pencemaran makanan, gaya hidup yang tidak sihat dan pencemaran alam sekitar.

“Setiap satu elemen merisikokan pencemaran dan pencemaran tersebut merisikokan rakyat Malaysia mendapat kanser.

“Jadi perlu siap saga untuk berdepan dengan satu keadaan peningkatan pesakit kanser secara drastik dalam tempoh masa 10 tahun,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, seramai 237,553 yang direkodkan dari 2012 hingga 2022 dengan sejumlah 127,252 kematian dalam tempoh sama.

Kadar kematian kasar dalam tempoh tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 56.5 peratus iaitu dari 31.3 kematian bagi setiap 100,000 penduduk pada 2012 kepada 49.0 kematian bagi setiap 100,000 penduduk pada 2021.

Susulan pertambahan pesakit kanser, Kementerian Kesihatan dilaporkan merekodkan sebanyak RM1.34 bilion dibelanjakan untuk rawatan penyakit itu.

Perbelanjaan itu mewakili 13.89 peratus daripada RM9.65 bilion yang dibelanjakan Kementerian Kesihatan bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).

Pada masa sama, Amin Ali berkata, Malaysia bagaimanapun berada di landasan tepat dalam meningkatkan keperluan pakar kanser dalam tempoh 10 tahun itu.

“Sebab Kementerian Kesihatan sentiasa peka dengan perkembangan isu-isu melibatkan kesihatan terutamanya dalam pesakit kritikal seperti kanser.

“Kerajaan sentiasa bertindak ikut situasi semasa dan keperluan semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab menangani pesakit kritikal dengan penuh keprihatinan,” katanya.

Ketika ini, beliau berpandangan, negara masih mempunyai pakar-pakar yang mencukupi untuk memberikan rawatan biarpun pesakit kanser semakin meningkat.

Katanya, ini kerana rawatan kanser itu melibatkan tiga pegawai perubatan daripada bidang berbeza dan bukan pakar onkologi semata-mata.

“Rawatan kanser dibahagikan kepada tiga ketagori. Pertama, bila mana berbincang berkenaan tumor, jadi tumor itu dirawat atau dibedah oleh pakar bedah.

“Kategori kedua dipindahkan ke pakar onkologi dan tugas mereka ialah untuk merawat kanser itu dengan penggunaan ubat ubatan sama ada kemoterapi atau terapi-terapi yang melibatkan perubatan.

“Peringkat tiga adalah rawatan menggunakan radioterapi yang menggunakan kuasa radioaktif yang tinggi, jadi ini dikawal selia pakar radioterapi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan hospital swasta juga mempunyai kekurangan pakar onkologi, namun ia tidak mendesak.

Menurutnya, ini kerana tidak semua hospital swasta mempunyai perkhidmatan rawatan kanser, jadi buat masa ini masih mencukupi.

“Mungkin ada kekurangan doktor kanser, tetapi tidak melibatkan semua sebab kebanyakan hospital swasta yang besar sahaja mempunyai rawatan perkhidmatan kanser.

“Jadi ada kekurangan tetapi tidak mendesak kerana rawatan kanser bukannya murah, maka hanya yang mampu dapatkan rawatan perkhidmatan itu akan datang ke fasiliti kesihatan swasta.

“Pada masa sama, kita juga mengendalikan kerjasama awam-swasta di mana pakar-pakar kerajaan bekerja di hospital swasta pada masa-masa ditentukan sebagai lokum atau bekerja sampingan.

“Selain itu, ada pakar-pakar kerajaan buat latihan persendirian di hospital swasta mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan yang memberi pengecualian beberapa hari (untuk berkhidmat di swasta),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×