Bina masyarakat beradab jadikan azam baharu

Bina masyarakat beradab jadikan azam baharu

SEJAJAR dengan hasrat kerajaan Madani, kita perlu membina masyarakat beradab yang menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan serta maju dalam penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI penghujung 2023 lalu, beberapa isu berlegar-legar dalam media sosial yang hangat diperkatakan netizen. Banyaklah ‘pakar-pakar’ tidak bertauliah memberi komen sama ada menyokong atau membangkang. Sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat Malaysia bebas memberi pandangan mengenai sesuatu isu tetapi mesti dalam ruang lingkup dibenarkan oleh undang-undang.

Janganlah seperti kata pepatah, kerana mulut badan binasa. Namun, kini bukan hanya kerana mulut semata-mata akan binasa tetapi jari jemari yang membuat hantaran di media sosial dihadapkan ke mahkamah dan akan menunggu satu lagi perbicaraan atau balasan di akhirat nanti.

Dalam al-Quran, Allah SWT khabarkan kepada hamba-hamba-Nya bahawa setiap amal kebaikan atau keburukan walau sebesar zarah pun pasti akan menerima balasan masing-masing. “Maka, sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah: 7-8)

Isu Identiti Digital Nasional (ID Digital Nasional); siasatan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip wang derma untuk rakyat Palestin; isu doktor hamil empat bulan ditemui mati tergantung; lambakan warga asing; amaran serangan siber; dan terkini, adik Zyan Rayyan yang hilang di Damansara Damai disyaki dibunuh. Isu luar negara paling menyedihkan kita semua adalah isu Palestin melibatkan puluhan ribu korban nyawa.

Apabila memperkatakan mengenai ID Digital Nasional, menerusi tinjauan saya di laman sosial, apa yang membimbangkan sebahagian rakyat adalah berkaitan keselamatan data dan undang-undang siber. Apa yang dirisaukan ialah data rakyat Malaysia akan dijual di ‘web gelap’ atau pihak tertentu seperti pengutip hutang, penyiasat persendirian dan lain-lain. Jika ini berlaku, siapakah yang perlu bertanggungjawab atau dikenakan tindakan undang-undang?

Aktiviti penjualan data peribadi sukar untuk dikesan terutama apabila melibatkan ‘orang dalam.’ Kesan daripada kebocoran data peribadi ini, muncul begitu banyak scammer yang memperdayakan rakyat Malaysia mengakibatkan kerugian RM1.2 bilion dari Januari hingga September 2022. Isu ini seakan-akan tiada titik noktah kerana scammer sentiasa menukar modus operandi mereka.

Isu kutipan derma daripada orang awam telah lama berlaku tanpa ada satu mekanisme khusus untuk mengawal selia. Dengan menggunakan imej-imej Islam, mereka melaksanakan pelbagai kaedah untuk mengaburi masyarakat. Kalau dahulu kutipan berlaku dari rumah ke rumah, masjid, surau dan stesen minyak tetapi kini pemindahan wang secara dalam dalam, penggunaan kad kredit, kod respons pantas (QR) dan lain-lain lagi.

WHATSAPP, TELEGRAM

Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar diwajibkan kepada pihak-pihak yang ingin mengutip derma menggunakan satu sistem berasaskan blockchain. Sistem ini dapat menjejak setiap sen diterima dan ke mana dibelanjakan secara masa sebenar. Jadi, pihak berkuasa dapat mengakses atau mengaudit akaun tersebut secara dalam talian dan pada bila-bila masa. Saya pernah berbincang dengan pihak yang mempunyai kepakaran membangunkan sistem ini dan dapat melihat bagaimana ia dapat menyelamatkan berbilion duit rakyat Malaysia.

Saya tidak bermaksud untuk mengulas isu doktor hamil mati tergantung tetapi apa yang ingin saya perkatakan ialah berkaitan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan kita. Sejak kebelakangan ini, kita dapati ramai membunuh diri atas pelbagai faktor seperti tekanan di tempat kerja, kewangan, hilang pekerjaan, masalah rumah tangga, kemurungan dan lain-lain.

Kes bunuh diri di Malaysia meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan pada 2021 berbanding 631 kes (2020). Jumlah ini berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut melaporkan 467 kes bunuh diri dalam tempoh enam bulan pertama 2022. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian setiap 40 saat. Kerajaan kini membangunkan sistem Daftar Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan. Sistem ini disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan peruntukan RM4 juta.

Jika kita renung kembali di era 1970-an dan 1980-an ketika saya sedang membesar, jarang sangat dengar orang Melayu Islam membunuh diri tetapi kini dengan kecanggihan teknologi, perkataan bunuh diri semakin biasa kedengaran.

Perbezaan antara dahulu dan sekarang ialah dari segi kecanggihan teknologi. Mesej-mesej sama ada daripada WhatsApp, e-mel, Telegram, audio, video dan pelbagai lagi diterima di luar waktu pejabat merupakan salah satu punca kita tidak ada lagi work life balance dan ini menyumbang kepada stres serta kemurungan.

Kerajaan dan majikan sepatutnya mempunyai satu pekeliling atau garis panduan berkaitan perkara ini. Cuba kita fikir sejenak, mengapa sebelum WhatsApp diperkenalkan, iaitu sekitar 2009 atau e-mel serta lain-lain, kita telah mencapai pelbagai kecemerlangan dan Malaysia pernah dikenali sebagai Harimau Asia? Begitu juga zaman kegemilangan tamadun Islam yang membangun tanpa teknologi seperti sekarang.

Sebagai renungan bersama, kita diciptakan untuk menyembah dan beribadat kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat ke 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Maka, Allah SWT jadikan malam itu pula untuk kita berehat kecuali tugasan-tugasan tertentu. Ini dapat kita lihat dalam firman Allah dalam beberapa ayat antaranya surah al-Mukmin ayat 61: “Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya.”

Jika dilihat makna kejayaan dari perspektif Islam, ia bukan diukur daripada kejayaan material semata-mata seperti memiliki kereta mewah, rumah banglo, simpanan jutaan ringgit tetapi merangkumi kebahagiaan dunia dan akhirat. Apa yang kita nikmati sekarang ini mungkin hasil usaha kita bekerja keras tetapi hakikatnya kesemua itu adalah anugerah daripada Allah yang Maha Berkuasa.

Sejajar dengan hasrat kerajaan Madani, mari kita membina satu masyarakat beradab, menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan serta maju dalam penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. – UTUSAN

PENULIS ialah Felow Kanan dan Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×