DUNGUN: Sepasang suami isteri di Ketengah Jaya, dekat sini, buntu memikirkan kelengkapan sekolah dan buku dua anaknya yang akan kembali ke sekolah pada Selasa ini yang rosak akibat banjir melanda tanah rancangan itu sejak Ahad lalu.
Marina Husain, 36, berkata, dia dan suaminya, Wan Yusoff Wan Abdul Kadir, 38, tidak sempat menyelamatkan buku dan peralatan sekolah anak-anaknya dalam kejadian banjir kilat yang disertai kepala air itu.
“Boleh dikatakan kesemua barangan di rumah saya musnah. Buku sekolah anak-anak tahun dua dan tahun lima juga semua dihanyutkan air.
“Apa yang tinggal hanya sehelai baju sekolah yang dipenuhi lumpur. Saya terpaksa cuci pakaian mereka banyak kali untuk hilangkan warna dan bau lumpur,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.
Marina berkata, berbaki beberapa hari lagi persekolahan akan bermula, dia akan menyediakan persiapan persekolahan hanya ala kadar berikutan suaminya tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Suami bekerja buruh dan pendapatan tidak menentu. Kalau ada kerja, ada gaji. Bila diuji dengan bencana begini, memang agak sukar untuk kami lalui.
“Saya akan beli barang yang penting dahulu seperti tudung anak. Buat sementara waktu, mungkin anak terpaksa pakai selipar dahulu untuk ke sekolah dan saya akan beli kemudian,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu berkata, kesemua barangan di rumahnya termasuk tilam dan perabot juga musnah.
“Kami seolah-olah baru pindah rumah. Tiada perabot yang dapat diselamatkan dan kami hanya tidur beralaskan kain sebab tilam semua musnah,” katanya yang turut berharap ada pihak sudi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.
Marina berkata, dia yang masih trauma dengan bencana tersebut juga masih bimbang jika kejadian sama kembali berulang.
Sementara itu, seorang pelajar tingkatan 2 di Felda Kerteh 4, Amir Affandi, 14, berkata, dia akan ke sekolah pada Selasa ini dengan memakai selipar berikutan kasutnya hilang dibawa arus dalam kejadian banjir, baru-baru ini.
“Rumah saya banjir teruk dan saya tak sempat selamatkan apa-apa. Saya akan pakai selipar dahulu sebab belum sempat beli kasut.
“Walaupun rasa janggal untuk berselipar, tapi cikgu-cikgu mungkin faham sebab kami baru kena banjir yang teruk,” katanya. – UTUSAN










