Stok beras kurang tahun depan?  

Stok beras kurang tahun depan?  

HARGA beras tempatan dan import akan diselaraskan bagi mengelakkan manipulasi dan menangani isu penipuan dalam industri berkaitan makanan asas negara itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara dikhuatiri berdepan isu kekurangan stok bekalan beras pada April atau Mei tahun depan melihat kepada unjuran kerajaan bahawa keperluan beras negara ketika ini, hanya mampu bertahan lima bulan. 

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 30 November lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberitahu, jumlah stok bekalan beras sehingga 21 November lalu sebanyak 978,390 tan metrik, yang terdiri daripada 250,000 tan metrik stok penimbal kerajaan dan 521,774 tan metrik stok dagangan. 

Jumlah tersebut cukup untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, persatuan-persatuan pengguna bimbang negara berdepan krisis beras sekali lagi tahun depan jika tiada langkah drastik diambil untuk memperbanyak bekalan makanan itu dalam tempoh beberapa bulan selepas berakhirnya unjuran tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, kemampuan negara menampung keperluan beras dalam tempoh sesingkat itu amat membimbangkan. 

“Saya pasti kerajaan akan mengambil langkah tertentu untuk menambah bekalan beras sama ada dalam negara atau luar negara. Namun, kita tidak tahu apa boleh berlaku pada masa akan datang. Sebab itu, kerajaan kena buat rancangan yang sempurna untuk peladang-peladang padi dan menambah hasilan mereka. 

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada beras import semata-mata, sebab kalau terus bergantung harganya akan terus naik dalam jangka masa yang tidak pasti kerana inflasi. 

“Saya harap kerajaan lebih peka dengan stok bekalan beras kita, ambil langkah wajar dan segera untuk mengatasi jangkaan kekurangan bekalan beras ini,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Senada, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, adalah wajar kerajaan bersedia lebih awal dengan menambah bekalan beras negara dan kegagalan berbuat demikian berisiko mencetus situasi lebih buruk dalam kalangan rakyat. 

Jacob berkata, ini akan menyebabkan pembelian panik rakyat dan kerajaan tidak akan dapat mengawal situasi itu akibat kekurangan bekalan beras.

“Harus ada pelan sandaran dan tidak bergantung kepada satu alternatif sahaja. Semua tahu bahawa beras adalah makanan utama rakyat Malaysia dan kekurangan bekalan beras sudah pasti menyebabkan pembelian panik. 

“Dalam keadaan sekarang musim banjir, ini akan merumitkan lagi hasilan beras negara kerana semua rantaian akan terjejas seperti aspek logistik. Warga pemimpin mesti fokus isu masyarakat dan kepenggunaan. 

“Adalah mustahak untuk kita ada ‘Kabinet perang’ untuk memantau dan membuat persediaan jika satu-satu alternatif itu tidak berjaya,” katanya. 

Kementerian sebelum ini memberitahu akan sentiasa memantau tahap stok semasa beras negara bagi memastikan sebarang keperluan atau permintaan luar jangka dapat dipenuhi. 

Pada 13 Disember lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu selepas rombakan Kabinet yang mengekalkan kedudukannya berkata, kerajaan akan memberi fokus dalam usaha mencukupkan bekalan makanan khususnya stok beras tempatan. 

Beliau juga memberi jaminan harga beras di negara ini masih jauh lebih murah berbanding harga di negara-negara Asia.

Pada 18 September lalu, Mohamad berkata, belum ada keperluan mendesak  bersifat kecemasan untuk menggunakan stok penimbal beras kerana stok dagangan sedia ada masih mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

Katanya lagi, kerajaan giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara supaya mencapai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras iaitu sebanyak 80 peratus menjelang 2030.

Selain itu, katanya, inisiatif dilakukan adalah pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperluas dengan menyasarkan pelaksanaan program di kawasan seluas 150,000 hektar sawah padi dengan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan bagi setiap hektar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×