Tawaran Sime Darby ambil alih UMW dapat lebih 50 peratus undian

Tawaran Sime Darby ambil alih UMW dapat lebih 50 peratus undian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tawaran Sime Darby Bhd. untuk mengambil alih baki 38.82 peratus kepentingan dalam UMW Holdings Bhd. pada harga RM5 sesaham, kini menjadi tidak bersyarat, selepas menerima lebih 50 peratus undian.

CIMB Investment Bank Bhd., bagi pihak Sime Darby memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa, tawaran itu boleh diterima sehingga 5 petang pada 17 Januari 2024, yang merupakan  tarikh tutup pertama.

Menurutnya, mengikut peraturan,  tawaran tersebut boleh dilanjutkan atau disemak semula.

Sime Darby merancang untuk mengambil alih baki 38.82 peratus kepentingan dalam UMW, susulan perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) pada Ogos, untuk membeli 61.18 peratus kepentingan dalam UMW.

Ia menjadikan Sime Darby pemegang saham terbesar dalam Kumpulan automotif itu.

Dengan pengambilalihan itu, dijangka UMW dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia, dan akan mewujudkan kumpulan perindustrian dan motor yang `hebat’, dengan kehadiran di pelbagai pasaran di Asia Pasifik.

Setakat semalam, harga saham Sime Darby naik tiga sen atau 1.27 peratus pada RM2.39, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM16.29 bilion. Saham UMW bagaimanapun turun satu sen atau 0.2 peratus lebih rendah pada RM4.97, dengan nilai pasaran RM5.81 bilion. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×