BARU-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan pasukan bola sepak Perlis yang terkenal dengan julukan Singa Utara sebenarnya masih mempunyai masa depan dan mampu bangkit semula selepas lebih sedekad seolah-olah hilang dalam peta bola sepak negara. Di peringkat akar umbi, Perlis sebenarnya mempunyai begitu ramai bakat atau ‘ubi muda’ yang mampu menyinar di peringkat lebih tinggi. Kalau bukan di negeri ini, boleh menjadi rebutan pasukan-pasukan besar lain.
Malah ia terbukti apabila wakil Perlis, iaitu Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan berjaya muncul naib juara Liga Remaja KPM-FAM bawah 17 tahun baru-baru ini. Perlis hanya tewas tipis 0-1 kepada pasukan ‘serba sempurna’, iaitu Akademi Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan akhir tersebut dengan menampilkan corak permainan cukup memukau.
Para pemain ini perlu dijaga dengan sebaiknya untuk masa depan Singa Utara jika mampu bersaing semula di peringkat lebih tinggi dalam Liga Malaysia sekali gus mengembalikan semula zaman kegemilangan Perlis yang cukup dinantikan oleh rakyat negeri ini. Jika ada yang tidak mengetahui, lewat 1990-an sehingga 2010, Perlis bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika itu cukup digeruni dan disegani pasukan lawan selain pernah dianggap giant killer yang memusnahkan pasukan-pasukan besar di Malaysia.
Dalam era kegemilangan tersebut, Perlis juga merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat lain di negara ini. Malah, dari 2004 hingga 2008 khususnya, Perlis sering kali berada di pentas akhir saingan dengan antaranya merangkul kejuaraan dua kali Piala Malaysia selain membawa pulang Piala Sumbangsih yang juga dimenangi sebanyak dua kali.
Namun, selepas lebih 10 tahun, nama Perlis terus menyepi dan hilang dalam peta bola sepak negara dengan rakyat Perlis ketika ini hanya menaruh harapan kepada Perlis United FC (PUFC) yang membawa imej negeri ini beraksi dalam saingan Liga M3.
Bola sepak diibarat hiburan utama rakyat di negeri ini dengan bermula dari Stadium Dato’ Sheikh Ahmad (dahulu) sehinggalah Stadium Utama Kangar (kini Stadium Tuanku Syed Putra) sentiasa dipenuhi peminat bagi menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka. Namun, kini sudah agak terlalu lama rakyat Perlis tidak merasai ‘nikmat’ tersebut.
Ketika ini, peranan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) hanya lebih kepada pembangunan bola sepak negeri. Namun dengan masalah kekangan kewangan, agak sukar untuk persatuan itu memainkan peranan lebih efisien dalam melahirkan lebih ramai bakat muda.
GAJI
Namun, persatuan yang diterajui Zamri Ibrahim itu perlu mencari langkah terbaik atau inisiatif dalam usaha mencari dana selain daripada sokongan kerajaan negeri agar kedua-dua pihak dapat menggembleng tenaga mengembalikan kebangkitan Singa Utara. Kata Zamri, antara masalah utama bola sepak Perlis sukar untuk bangkit selepas lebih sedekad adalah kewangan. Dan jika pasukan mempunyai kewangan yang kukuh, masalah berkenaan dapat diselesaikan.
Beliau percaya, bola sepak Perlis sebenarnya masih mempunyai masa depan dan untuk bersaing dalam Liga Super sekurang-kurangnya memerlukan RM3 sehingga RM5 juta.
“Untuk mengembalikan kebangkitan bola sepak Perlis, sokongan daripada kerajaan negeri dan pelbagai pihak lain sangat diperlukan. Perlis mempunyai ramai bakat atau akar umbi yang cukup berkualiti, namun sayangnya mereka tidak ada tempat selepas itu. Jika pasukan bola sepak Perlis kembali kuat, bakat-bakat ini tidak lagi disia-siakan,” katanya.
Bagi kerajaan negeri, mereka tidak ada masalah membantu PFA, namun persatuan berkenaan perlu mengemukakan perancangan dan hala tuju secara menyeluruh bagi membolehkan kerajaan negeri melihat keperluan bantuan yang dapat disalurkan buat pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi. Malah di peringkat negeri, banyak kejohanan di peringkat akar umbi dilaksanakan selain menganjurkan Liga Super Perlis yang menarik penyertaan begitu memberangsangkan dari seluruh negeri ini.
Bakat-bakat yang ada daripada pembangunan bola sepak tersebut juga boleh diserapkan ke dalam pasukan PUFC. Namun sebelum itu, pastikan PUFC yang beraksi dalam saingan Liga M3 mempunyai sumber kewangan yang kukuh terlebih dahulu agar isu-isu seperti masalah pembayaran gaji tidak berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, kerajaan negeri sememangnya sentiasa menyokong pembangunan bola sepak di Perlis. Namun, PFA juga perlu memainkan peranan bagi mencari dana khususnya selepas ia diswastakan. Katanya, kegemilangan bola sepak di Perlis perlu dikembalikan secara menyeluruh dengan melibatkan pembangunan bola sepak di peringkat sekolah, kelab dan lain-lain lagi.
“Pada saya, apa yang penting adalah pembangunan atlet bola sepak itu dan ia akan berkembang jika kebajikan mereka terjaga. Benda ini memerlukan hala tuju yang jelas dan disebabkan itulah kerajaan negeri minta agar PFA dapat kemukakan road map atau perancangan mereka secara lebih telus,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










