RANTAU PANJANG: Seorang ibu meluahkan rasa syukur walaupun hanya mayat anaknya Nur Damia Qaisara Mohd. Sabre,11, yang ditemukan pagi semalam.
Farah Adnan, 32, berkata, selepas menunai solat isyak malam semalam, dia tidak putus-putus berdoa agar anak sulung daripada tiga beradik yang hilang lebih 24 jam selepas terjatuh ke dalam alur sungai di Kampung Petai Dusun ditemukan.
Menurutnya, mayat Nur Damia Qaisara ditemukan terapung oleh saudara-maranya dan penduduk kampung kira-kira satu kilometer dari tempatnya terjatuh, kira-kira pukul 7 pagi semalam.
“Selesai solat Isyak malam tadi, saya merintih ‘kak yong timbullah, ibu reda dengan pemergian mu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Farah memberitahu, dia pada awalnya bimbang jika Nur Damia Qaisara disemadikan tanpa kubur kerana berkemungkinan besar anaknya itu dihanyut jauh dari lokasi kejadian.
Katanya, dia menaiki bot bersama bomba ke ladang kelapa sawit dan terdetik untuk ke kawasan ranting kayu hanyut yang tersangkut dalam di kawasan tersebut.
“Kebetulan suami dan saudara-mara turut mencari di kawasan itu dan meninjau di rumpunan ranting kayu yang tersangku.
“Air banjir pula semakin surut dan keadaan itu memudahkan usaha mencari anak saya,” ujarnya.
Jenazah Nur Damia Qaisara disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baroh Pial semalam.
Kanak-kanak itu lemas selepas terjatuh ke dalam alur sungai di Kampung Petai Dusun di sini ketika dia mandi-manda bersama rakannya, Siti Aisyah Mazi, 11. – UTUSAN










