Tidak selesa ramai warga asing

Tidak selesa ramai warga asing

WARGA asing bersesak bersama rakyat tempatan di Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni, Kuala Lumpur semasa cuti sempena sambutan Hari Krismas, kelmarin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehadiran ramai warga asing di ibu kota sempena cuti hujung minggu dan Hari Krismas kelmarin, menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan.

Menurut mereka, jumlah warga asing tersebut terlalu ramai yang dilihat bersiar-siar di beberapa lokasi menarik terutama di pusat beli-belah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kehadiran mereka nampak ketara di dalam pengangkutan awam, stesen MRT, stesen transit aliran ringan (LRT), taman di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) serta pusat beli-belah termasuk Pavillion.

Eksekutif sebuah firma swasta di Klang, Luqman Nurhakim Kassim, 25, berkata, dia berasa seperti sedang bercuti di negara luar kerana terlalu ramai warga asing di beberapa kawasan tumpuan orang ramai terutama di kawasan Bukit Bintang.

“Saya agak kurang selesa kerana kawasan ini dibanjiri oleh warga asing sama ada di dalam pusat beli-belah dan pengangkutan awam.

“Bagi golongan wanita, mereka harus lebih berwaspada untuk mengelakkan diri daripada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi peniaga baju dalam talian, Hakim Mahari, 26, dari Terengganu, kedatangan warga asing ke negara ini perlu ditapis dengan lebih terperinci sebelum mereka dibenarkan masuk.

“Apa yang saya risaukan adalah soal keselamatan dan kesihatan orang ramai. Sebelum masuk ke negara kita, pastikan mereka menjalankan ujian saringan kesihatan supaya tidak membawa sebarang penyakit,” katanya.

Sementara itu, Nur Aqilah Azli, 26, seorang pereka grafik di Damansara berkata, walaupun didapati ramai warga asing di ibu kota, keadaan masih terkawal dan selamat.

“Bagi saya, masih selamat berjalan di Kuala Lumpur kerana ramai warga kota yang pulang ke kampung dan tidak salah untuk warga asing keluar berjalan-jalan di sini.

“Bukan selalu dapat cuti panjang macam ini. Mereka juga mahu bercuti jadi saya rasa mereka hendak meluangkan masa bersama kawan-kawan atau keluarga” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×