Pendatang tak sesuai tayang di sekolah - Utusan Malaysia

Pendatang tak sesuai tayang di sekolah

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) supaya filem Pendatang ditayang di sekolah tidak sesuai ekoran dialog dan aksi ada elemen keganasan selain sindiran rasisme.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil berkata, kandungan filem itu menyentuh tentang hubungan kaum dan boleh didedahkan kepada generasi muda.

Namun, menurut beliau, untuk ditayangkan di sekolah, terutamanya untuk pelajar sekolah rendah, ia perlu ditonton bersama guru.

“Penjelasan perlu diberikan selepas menonton kerana ada kemungkinan kandungan filem tidak difahami kanak-kanak.

“Ada pula elemen guna senjata api, bahasa kasar, menghisap rokok,” katanya.
Terdahulu, Finas mengesyorkan filem bebas bertajuk Pendatang ditayangkan di sekolah-sekolah.

Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman berkata, filem seperti itu diyakini menggalakkan perbincangan yang bermakna, membongkar persepsi dan prasangka yang mendalam.

Mengulas lanjut, Nur Hafeeza berkata, jika ada perbincangan yang terbuka selepas menonton filem tersebut, pihak sekolah dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk berkongsikan perasaan dan pandangan masing-masing.

BIMBINGAN

Namun, katanya, perbincangan itu perlu berserta dengan bimbingan guru supaya tiada salah faham atau diapi-apikan dengan prasangka dan perasaan negatif.

Katanya, filem yang ditayangkan secara percuma di YouTube itu berkemungkinan telah ramai ditonton oleh pelajar tanpa sebarang bimbingan dan perbincangan ilmiah yang mana barangkali pelajar membuat andaian sendiri bersifat negatif dan menerima perspektif buruk.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim berkata, filem itu tidak sesuai ditayangkan di sekolah ekoran tema eksplisit politik dan ideologi tidak sesuai untuk kategori umur pelajar.

Menurut beliau, sekolah juga bukan tempat sesuai untuk tayangan banyak adegan eksplisit pembunuhan, kata makian, ancaman rogol dan pemaparan rasisme keterlaluan.

“Selain itu, setting (tempat dan masa) berunsur anarkis, pergelutan sosial lebih sesuai untuk penonton lebih dewasa.

“Seorang penonton perlu ada kecelikan konsep asas hubungan antara kaum sebelum berupaya memahami konflik berdarah dan isu rasisme kompleks dalam filem ini.

“Ini sebabnya klasifikasi Filem mengikut kesesuaian umur penonton dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Kata beliau, tayangan umum seperti di sekolah juga perlu mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) selepas mengambilkira aspek sosiobudaya, keagamaan dan ketatasusilaan.

“Penapisan filem dan kelulusan jelas dalam Garis Panduan Penapisan Filem yang punca kuasanya adalah Akta Penapisan Filem 2002,” katanya.

Katanya, unsur keganasan melampau dan kata-kata kesat serta seksual dalam filem itu mungkin tidak akan diluluskan untuk tayangan, khususnya di sekolah.

“Dialog tentang Sabah dan Sarawakkeluar Malaysia dan sindiran watak berbangsa Cina terhadap persepsi makanan tidak halal antara unsur provokatif yang sama sekali tidak sesuai untuk pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×